Artifak curi dikembalikan

TEHRAN, 10 Okt – Artifak Parsi purba yang telah dicuri sebanyak dua kali kini berada di Muzium Negara, Tehran selepas mahkamah New York memerintahkan supaya ia dikembalikan kepada Iran.

“Ia kini milik kepada mereka yang membuatnya pada awalnya dan yang kini akan memeliharanya, ia adalah sebahagian identiti mereka,” Firouzeh Sepidnameh, pengarah bahagian sejarah lama Muzium Negara memberitahu AFP semalam.

Ukiran timbul batu kapur itu telah diserahkan kepada wakil Iran di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bulan lalu dan Presiden Hassan Rouhani sendiri yang membawanya balik ke Iran ketika beliau pulang dari Perhimpunan Agung PBB. Artifak bernilai yang berusia kira-kira 25 abad itu memaparkan kepala seorang tentera dari barisan ‘Immortal Guards’.

Ia ditemui dalam kerja penggalian arkeologi pada awal 1930an di Persepolis, bandar Achaemenid Empire, dekat bandar tengah Iran hari ini iaitu Shiraz. Artifak itu telah dicuri empat tahun selepas ia ditemui dan ia berakhir di Museum of Fine Arts, Montreal dan dari situ ia dicuri lagi pada tahun 2011.

Ia dirampas oleh pejabat peguam daerah Manhattan dalam tahun 2017 apabila ia muncul semula dan dijual pada satu pesta lukisan. – AFP

Pelawat Muzium Negara melihat dengan lebih dekat artifak Parsi purba yang telah dicuri sebanyak dua kali. – AFP