Artifak Inca dipulangkan ke Peru

LIMA, 15 Mei – Lebih daripada seratus harta pra-Colombia termasuk patung sembahan tanah liat dan tekstil daripada Empayar Inca telah pun dipulangkan ke Peru dari Amerika Syarikat dan Argentina.

Sejumlah 130 artifak berkenaan, kebanyakannya dipulangkan secara suka rela setelah diseludup keluar dari Peru, dipamerkan dalam bangunan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri di ibu negara Lima semalam.

Objek tersebut termasuk mangkuk dan vas yang dihias, kain sulaman, ukiran kayu dan patung kecil bercat.

“Argentina memulangkan kebanyakan daripada 92 barangan kebudayaan dan yang selebihnya dari Amerika Syarikat adalah terdiri daripada 38 aset kebudayaan,” kata kenyataan daripada kementerian luar negeri.

Barangan AS dikembalikan dengan bantuan muzium antropologi di Universiti California, Berkeley, sementara 77 objek lain adalah milik pengumpul individu Argentina.

Objek arkeologi itu boleh dikesan kepada kebudayaan pra-Colombia termasuk Moche, Chimu, Nasca, Chancay, Huari, Vicus, Lambayeque dan Chincha, serta Inca.

Pihak berkuasa Peru bertemu dengan pemilik yang meminta objek dipulangkan selepas mengenal pasti mereka sebagai sebahagian daripada warisan kebudayaan negara. – AFP