Artifak purba ditemui di Saqqara

KAHERAH, 17 JAN – Mesir mengumumkan semalam penemuan harta karun baharu di kawasan nekropolis Saqqara selatan Kaherah, termasuk tapak pengebumian kuno.

Kementerian pelancongan dan antikuiti berkata ‘penemuan besar’ yang dilakukan oleh kumpulan arkeologi pimpinan Zahi Hawass juga termasuk lebih 50 keranda.

Keranda kayu itu, yang wujud sejak Kerajaan Baharu, ditemui di 52 tempat pengebumian pada kedalaman 10 hingga 12 meter, kata kementerian dalam satu kenyatan.

Ia memetik Hawass sebagai berkata ‘tapak pengebumian Permaisuri Naert, isteri Raja Teti,’ serta tiga gudang yang diperbuat daripada bata ditemui di tapak berkenaan. Saqqara, tempat terletaknya puluhan piramid, biara lama dan tapak pengebumian haiwan, merupakan kawasan nekropolis ibu negara lama Mesir Memphis, Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Pada November, Mesir mengumumkan penemuan lebih 100 keranda batu, penemuan terbesar pada tahun itu. Dalam kenyataan yang disiarkan semalam, Hawass berkata penemuan terbaharu mungkin mendedahkan sejarah Saqqara semasa Kerajaan Baharu, di antara abad ke-16 dan abad ke-11. – AFP

Salah satu artifak yang digali oleh pakar arkeologi Mesir Zahi Hawass dan kumpulannya di nekropolis Saqqara, Selatan Kaherah, Mesir dipamerkan kelmarin. – AFP