Artifak, syiling lebih 900 tahun ditemui di pulau Melaka

MELAKA, 17 SEPT – Beberapa serpihan artifak dan syiling dipercayai berusia lebih 900 tahun yang digunakan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dan Dinasti Song, Yuan dan Ming, ditemukan di kawasan tambakan pasir di Pulau Melaka di Bandar Hilir di sini.

Pesuruhjaya Warisan yang juga Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN), Mesran Mohd Yusop berkata serpihan kayu dipercayai rangka kapal dagang karam yang digunakan pada zaman itu turut ditemukan di lokasi yang sama.

Beliau berkata kesemua bahan itu ditemukan di kawasan yang dikelilingi belukar dan lalang, secara berasingan dan berperingkat dalam tempoh dua tahun lepas oleh orang awam, termasuk kaki pancing sebelum dilaporkan kepada pihak JWN.

“Antara artifak penting yang ditemui iaitu mata wang Kesultanan Melaka zaman pemerintahan Sultan Mahmud iaitu antara tahun 1488 hingga 1511, pecahan seramik seperti tembikar dan porselin dari Dinasti Song, Yuan dan Ming, mata wang Portugis dan Belanda jenis VOC atau Syarikat Hindia Timur Belanda.

“Penemuan bahan-bahan ini dipercayai ekoran perubahan aras air dan kerja-kerja penambakan laut di sekitar Pulau Melaka sehingga menyebabkan artifak itu terlihat di permukaan lumpur dan daratan,” katanya kepada pemberita di tapak penemuan artifak berkenaan di sini, hari ini. – Bernama

Beberapa mata wang yang digunakan pada Zaman Kesultanan Melaka dipercayai berusia lebih 900 tahun ditemukan di kawasan tambakan pasir di Pulau Melaka di Bandar Hilir. – Bernama