Friday, January 17, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Artis hip-hop tanah air lancar muzik video

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Satu lagi pencapaian mewarnai industri muzik tempatan apabila Luanloko, salah seorang artis hip-hop dan rap tanah air melancarkan sebuah muzik video rasmi untuk lagu ‘Semboyan’ menerusi saluran YouTube, baru-baru ini.

    Semasa perkongsian secara maya bersama Media Permata, Luanloko atau nama sebenarnya Jasmin Hassan menyatakan bahawa bahawa lagu yang telah berjaya dirakam di salah sebuah studio tempatan itu lebih berkonsepkan kata-kata puitis nasihat seorang insan bergelar ibu kepada anak tersayang agar tetap bangkit mengejar cita-cita. Lagu itu, ujarnya, merupakan kerjasama beliau dengan beberapa penggiat seni muzik di negara jiran, Malaysia.

    Tambahnya, lagu itu dicipta sepenuhnya oleh seorang penyanyi rap dari Malaysia, Kmy Kmo, yang juga merupakan penulis lirik bagi lagu tersebut.

    Sementara itu, idea muziknya pula disusun oleh Luca Sickta yang juga salah seorang produser dari negara tersebut bersama beliau sendiri.

    Manakala pembikinan muzik video tersebut pula telah dihasilkan sepenuhnya oleh anak tempatan, Cpin Aidil dan Dean Hanis.

    “Saban tahun, kita turut menyaksikan perkembangan positif dalam industri muzik tanah air kita, daripada pelbagai genre yang ditampilkan oleh anak-anak seni tempatan, masing-masing memiliki gaya penampilan tersendiri yang sememangnya begitu membanggakan.

    “Adalah menjadi harapan tulus untuk menyaksikan penerimaan dan sokongan anak-anak seni kita terutamanya dalam kalangan masyarakat di negara ini,” ujarnya lagi.

    Luanloko yang merupakan artis di bawah Label HMO Records Malaysia juga tidak ketinggalan merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada insan-insan yang sentiasa berada di sisinya dalam meniti pasang surut bidang industri muzik.

    Luanloko semasa menjalankan sesi penggambaran bagi muzik video lagu nyanyiannya berjudul Semboyan. – Gambar serahan Luanloko
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda