Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Delegasi tiga orang yang terdiri daripada artis dan pegawai pengiring dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah berlepas ke Republik Demokratik Rakyat Laos bagi mewakili negara dalam Konsert Muzik Kontemporari Muda ASEAN yang akan berlangsung di Dewan Kebudayaan Negara Laos, Vientiane, Laos.
Rombongan negara yang diketuai oleh Dayang Mardyanah binti Haji Omar akan berada di Laos selama lima hari bermula hari ini hingga 27 Ogos ini.
Konsert berkenaan adalah sebagai salah satu aktiviti dalam memberi sokongan kepada penubuhan 50 tahun ASEAN seterusnya meningkatkan kesedaran melalui persembahan kebudayaan.
Bukan setakat, ia juga memberi peluang untuk menjalin rangkaian komunikasi dalam kalangan artis sekali gus mempromosi hubungan harmoni, mengeratkan hubungan persahabatan dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rantau Asia.
Di samping membuat persembahan nyanyian di konsert tersebut, rombongan negara juga akan mengadakan lawatan ke tempat menarik dan pelancongan di negara tersebut.