Artis kongsi cara inovatif melukis jubin

ISTANBUL – Seorang artis jubin dan seramik Turki, Ozlem Varol telah menawarkan satu kaedah baharu untuk melakukan seni lukisan jubin di tengah pandemik COVID-19.

“Apabila kami terpaksa duduk di rumah disebabkan pandemik, kami membangunkan idea untuk menghantar seramik mentah kepada sesiapa yang mahu melukis,” beritahu Varol kepada Xinhua pada Rabu di studionya di daerah Besiktas, Istanbul.

Sebaik sahaja beliau mengumumkan hasratnya di akaun media sosialnya, Varol mula menerima beribu-ribu tempahan setiap hari daripada orang dari seluruh negara.

“Kami menyediakan kotak kecil, yang termasuk sekeping seramik, seperti vas, dulang ataupun cerek, semuanya dengan corak saya, beberapa botol warna dan berus,” kata beliau sementara melukis beberapa corak rumah Sepanyol pada sebuah vas.

Harga kit adalah di antara AS$7 dan AS$400.

Selepas mewarnai barangan mereka, orang menghantarnya kembali untuk proses pemasangan dan pengawetan yang dilakukan di studio atau bengkel. Dan, apabila Varol mendapatkan produk siap dari ketuhar, beliau menghantarnya ke alamat pelanggan sekali lagi.

Ozlem Varol melukis pada cerek di sebuah studio di Istanbul, Turki. – Xinhua
Ozlem Varol memperkenalkan hasil seninya di studio di Istanbul, Turki. – Xinhua

“Maka seluruh proses termasuk tiga hantaran kesemuanya. Kami tidak mempunyai kontak, tiada interaksi sosial, semuanya sejajar dengan langkah yang dikenakan bagi membendung koronavirus,” tambah Varol.

Bercakap tentang sebab-sebab di sebalik minat yang timbul, Varol berkata semua orang memerlukan satu aktiviti untuk merangsang minda mereka dan relaks, bebas daripada semua kekusutan hidup.

“Lukisan dan seni jubin, pada umumnya, menawarkan apa yang diperlukan oleh orang,” kata beliau, mendapati ia membentuk aktiviti seperti terapi, menghapuskan stres orang ramai.

“Sesetengah pelanggan saya berkongsi gambar me-reka, menunjukkan semua ahli keluarga melukis sekeping jubin di rumah di sekeliling meja dan berseronok meluangkan masa bersama,” kata Varol.

Funda Usel, penduduk Izmir di barat wilayah Turki, merupakan salah seorang pengikut Varol.

“Saya amat terdesak untuk mencari apa yang dapat saya lakukan semasa kuarantin. Saya berasa amat bosan tinggal di rumah sepanjang masa disebabkan pandemik,” beritahu Usel kepada Xinhua menerusi telefon.

Beliau kemudian menemui kaedah Varol di akaun Instagramnya, dan menghantar tempahan pertama beliau dan melukis pada sebuah pinggan bersama gambar kaktus padanya.

“Seluruh proses penghantaran berjalan lancar, dan aktiviti sungguh menyeronokkan dan relaks,” kata Usel, dan beliau kini merancang melukis sebuah vas besar untuk bilik tamunya.

Seni lukisan jubin dan seramik Turki pertama dilihat pada abad ke-15 semasa era Ottoman, tetapi akar umbinya telah wujud sejak abad ke-8 dan 9 di dunia.

Satu tradisi Sufi, dikenali sebagai ‘dimensi dalaman Islam,’ terletak pada motif seni ini, jelas Varol tentang falsafah di sebalik seni ini.

“Wujudnya kasih sayang, kepatuhan kepada peraturan pencipta,” tambah beliau. “Bentuk bunga tulip pada jubin dan seramik Turki lama, misalnya, sentiasa melihat ke atas, mewakili kasih sayang ini.”

“Anda tidak akan tahu bagaimana produk akhir akan keluar dari ketuhar. Ada kalanya sesetengah bahagian pecah dan melekat pada produk orang lain. Anda tidak pasti mengenai bentuk dan warnanya,” kata artis itu.

“Mungkin kami semua harus menerima tempoh pandemik dalam kehidupan kami, seperti kepingan seramik dalam ketuhar. Kami tidak mempunyai apa-apa untuk dilakukan, namun mematuhi peraturan.” – Xinhua