Artis muda JIS teroka idea di Tasek Lama

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel hari ini berkenan menyertai 39 penuntut Tahun 8 dari Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) bagi lawatan pendidikan ke Taman Rekreasi Tasek Lama di ibu negara.
Lawatan tersebut yang dikendalikan oleh Guru Seni Sekolah Menengah, Tracey Purkis, telah membantu pelajar menyelesaikan tugasan bertajuk In the Jungle.

Pada lawatan itu, Duli Yang Teramat Mulia dan para pelajar berpeluang merakamkan gambar spesies tumbuhan berbeza dan melukis lakaran bebas tentang alam.

Gambar-gambar yang dirakamkan semasa lawatan itu akan digunakan oleh para pelajar sebagai rujukan untuk tugasan mereka seterusnya di sekolah.

Para pelajar diiringi oleh guru dari fakulti seni termasuk Pengarah Pastoral Sekolah Menengah, Richard Bourbon.

Dalam kenyataan yang disediakan JIS, Tracey Purkis mengongsikan bahawa lawatan kesenian ke Tasek Lama membolehkan artis muda Tahun 8 untuk meneroka idea-idea di luar bilik darjah di mana mereka dapat menggunakan persekitaran semula jadi yang indah untuk memberikan mereka inspirasi dalam lukisan dan karya seni lain.

Manakala itu, Pengetua JIS, Nicholas Sheehan menambah, “Sebagai sebuah sekolah, kami sangat beruntung mempunyai banyak peluang di Brunei untuk para pelajar muda kami belajar dan mengembangkan minat dalam seni dan alam di luar kelas.”

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Abdul Wakeel ketika berkenaan menyertai lawatan pendidikan ke Taman Rekreasi Tasek Lama. – Gambar oleh Muiz Matdani