RAMALLAH, PALESTIN – Sepanjang tempoh lapan bulan ditahan di penjara Israel, artis Palestin Mohammad Aziz Atef, 26, menghabiskan masa dengan membuat lukisan grafiti di dinding selnya menggunakan kopi dan bahan lain yang boleh digunakan.
Bercakap kepada Agensi Anadolu sempena Hari Kemahiran Belia Sedunia minggu lalu, Atef, yang baru selesai menjalani hukuman berkata melukis membolehkan dia bertahan sepanjang di penjara.
“Kemahiran melukis yang saya ada inilah cara saya untuk terus bertahan di penjara.
“Penjara adalah tempat yang boleh membunuh anda dan tenaga anda kerana terkurung dan tiada cara untuk meluahkannya jadi ia boleh membunuh anda,” katanya.
Sambil duduk di ruang tamu di rumahnya di Ramallah, dikelilingi puluhan lukisannya, Atef, berkata lukisan itu adalah penyelamatnya.
Meskipun tanpa peralatan yang diperlukan seperti berus dan cat, ia sama sekali tidak memadamkan minatnya untuk terus melukis menggunakan apa sahaja bahan yang ada.
Atef ditahan tentera Israel pada November lalu di rumahnya di bandar Birzeit, utara Ramallah di Tebing Barat. Beliau dijatuhi hukuman penjara lapan bulan kerana dikatakan terlibat dengan aktiviti yang dikategorikan sebagai ‘mengancam keselamatan’.
Baru sahaja dibebaskan beberapa hari lalu, beliau kini berusaha untuk melancarkan galeri yang akan mempamerkan karya yang dihasilkan ketika dipenjara, lapor Agensi Anadolu.
Pihak berkuasa penjara Israel tidak membenarkan sebarang alat khas untuk melukis. Jadi Atef bersusah payah mendapatkan kertas, sama ada dengan membelinya pada harga yang mahal dari kantin penjara atau menyeludupnya dari luar.
Atif berkata untuk mewarna dan melukis imej, beliau menggunakan pen kering, pensel, kertas nota sebagai pembaris, dan kopi untuk menghasilkan ratusan karyanya. Pelukis muda itu menggunakan kopi pekat, sebagai pigmen untuk menukar warna kertas.
Lukisan-lukisan itu menceritakan kisah yang berbeza sama ada mengenai perjuangan Palestin atau keluarga rakan-rakannya di penjara.
“Waktu malam saya habiskan dengan melukis di bawah lampu meja. Saya melukis nama rakan-rakan saya dan keluarga mereka dengan puisi yang berkaitan dengan hari istimewa mereka dan memberikannya kepada mereka sebagai hadiah apabila keluarga datang melawat mereka. Ini membuatkan saya gembira, ia menyelamatkan mental dan emosi saya,” katanya.
Atef meluahkan perasaannya melalui 53 lukisan, 13 daripadanya dirampas pihak pentadbiran penjara semasa pemeriksaan. – Bernama