Artis pujaan kongsi kenangan terindah

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar serahan Biro Pelancongan Taiwan, Kuala Lumpur

Berpeluang bertemu dengan artis pujaan ramai ketika sekatan pergerakan COVID-19 ketika ini suatu perkara yang menyeronokkan walaupun hanya bersua muka menerusi telesidang video.

Pertemuan empat mata di alam maya anjuran Biro Pelancongan Taiwan, Kuala Lumpur telah mempertemukan penulis dan pengamal media lainnya dari Brunei dan Malaysia untuk menemu bual Duta Biro Pelancongan Taiwan yang juga seorang pelakon popular dan pengacara cantik dari Malaysia, Mira Filzah.

Temu bual yang tidak memerlukan jarak sosial bersama idola ramai itu berlangsung hampir dua jam yang mana Mira Filzah telah mengongsikan tentang pengembaraan meneroka permata terpendam di Taiwan.

Menyaksikan gambar-gambar menarik yang dikongsikan seperti Taman Negara Yangmingshan, Alisan Forest Railway dan juga pasar malam yang kelihatan selamat dan bersih telah menggamit perasaan teruja untuk ‘terbang’ segera ke Taiwan.

Mira Filzah dalam telesidang itu turut mengongsikan antara tempat istimewa yang dikunjunginya ialah Alishan Forest Railway di wilayah Chiayi di mana beliau menikmati perjalanan kereta api santai yang memiliki pemandangan panorama mengagumkan hutan pokok buluh dan tiupan angin semula jadi yang cukup menenangkan.

Alishan Forest Railway memaparkan pemandangan yang menyejukkan mata.

Antara salah satu roti terkenal di Taiwan.

Mira Filzah ketika mengunjungi Pasar Kain Yongle.

Alisan Forest Railway, pasar kain

Landasan tersebut dibina pada 1899 melalui rupa bumi berbeza-beza yang menjadikan ia kaedah terbaik bagi menikmati keindahan semula jadi Taiwan yang memukau mata memandang.

Selain tarikan kereta api, terdapat juga banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan oleh pelancongan di Alishan ini antaranya mendaki gunung, menghayati detik matahari terbit atau menghirup teh Taiwan yang berkualiti tinggi.

Manakala bagi pelancong yang datang dari arah Taipei, jelasnya, perjalanan dari Stesen Utama Taipei menggunakan Landasan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) ke Chiayi akan mengambil masa kira-kira 1 jam 40 minit.

Beliau turut berkongsi satu lagi tempat tarikan iaitu Pasar Kain Yongle, ia merupakan pasar kain terbesar di Taiwan manakala di Daerah Datong, Taipei pula merupakan syurga kain bagi penggemar kain yang pastinya memukau pengunjung dengan pilihan pelbagai tawaran yang cantik dan berwarna-warni, ini termasuk aksesori, renda dan barang sulaman.

Restoran halal, tempat ibadah

Tidak lengkap jika melancong tidak mengetahui apa sajian istimewa yang terdapat di sini. Menurut Mira Filzah, banyak fasiliti dan kemudahan mesra Muslim telah disediakan yang termasuk makanan dan minuman diperakui halal, hotel-hotel dan bilik solat selesa di kawasan awam.

Sehingga kini, terdapat 252 restoran dan gerai makanan yang diperakui kehalalannya dan antara menu yang harus dicuba ialah Mi Daing Taiwan, Aiskrim Gulung Kacang, Stinky Taufu, Mango Iced Shave dan Bubble Tea.

Selain itu, terdapat juga masjid di bandar-bandar yang berbeza seperti Masjid Besar Taipei, Masjid Kaohsiung dan Masjid Taichung.

Ruang solat juga terdapat di bangunan awam dan tempat-tempat menarik di mana pelancong Muslim boleh memuat turun aplikasi HalalTW untuk mengetahui restoran halal terdekat, hotel dan tempat solat.

Tahun lalu, Taiwan memperkenalkan mesin jualan halal pertama yang terdapat di Taipei Pusat Konvensyen Antarabangsa (TICC) dimana terdapat 20 jenis makanan halal.

Menyimpan sejarah, sarat aktiviti, syurga beli-belah

Taiwan bukan saja mengetengahkan alam semula jadi yang menakjubkan namun menyimpan khazanah spiritual dan kebudayaan berharga seperti National Palace Museum, Chiang Kai-Shel Memorial Hall, Zgishan Cultural and Ecological Garden, Jalan Lama Jiufen dan Jambatan Longteng di Miaoli.

Bagi pelancong yang suka membuat aktiviti lasak, dua gunung Yushan (Gunung Jade) dan Xueshan (Gunung Salji) tersedia untuk mereka yang suka mendaki gunung, berkayak dan lainnya.

Ketika cuaca baik, pendaki boleh mendaki Yushan dan menikmati keindahan sekitarnya tanpa banyak kesukaran, sementara Xueshan, puncak kedua tertinggi di Taiwan pula sering diliputi salji selama berbulan-bulan semasa musim sejuk.

Manakala berbasikal di sekitar Taiwan adalah perkara yang sangat popular dalam kalangan penduduk tempatan kerana terdapat banyak lorong basikal dan setiap bulan November Festival Berbasikal Taiwan akan dianjurkan untuk meraikan budaya basikal.

Pusat komersial terkenal termasuk Taipei Children Amusement Park, Discovery Centre of Taipei dan juga Taipei 101 yang menjulang tinggi, penuh dengan pusat membeli-belah, restoran mewah. Sementara itu, Eslite Xinyi sebuah kedai buku terbesar di Taiwan, menjadi tempat terbaik untuk pencinta buku. Manakala Tamsui Old Street pula adalah sarang aktiviti terutama kala hujung minggu kerana di sini terdapat banyak produk buatan tempatan kraf tangan dan cenderahati.

Info keselamatan

Taiwan mempunyai kadar jenayah yang rendah dan paling selamat di dunia yang menempatkan CCTV di seluruh kawasan Taiwan dari persimpangan lalu lintas, kawasan komersial, tempat awam, kawasan perumahan dan sesuai untuk pelancong solo termasuk wanita.

Untuk ini, Taiwan merupakan salah satu pilihan menarik sebagai destinasi percutian yang pastinya memberi kenangan istimewa bagi mereka yang ingin menjadikannya sebagai destinasi pertama selepas berakhirnya COVID-19.