Sunday, February 16, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Artis seni Portugis tukar sampah jadi arca kreatif

    SEBUAH kotak kayu yang rosak dan paip-paip yang koyak menggunung di sebuah studio seni di Portugis milik seorang artis seni, Bordalo II, yang telah menggunakan buangan sampah untuk membina sebuah arca seni yang berbentuk haiwan sekali gus memberi amaran tentang bahayanya kesan pencemaran.

    Lelaki berkumis yang berusia 31 tahun itu telah mendekorasi kebanyakan dinding-dinding bangunan di Portugis dan beberapa lagi buah bandar di seluruh dunia dengan karya kreatifnya yang berwarna-warni dan pelbagai bentuk haiwan-haiwan seperti rubah, burung hantu, monyet dan juga sumpah-sumpah.

    Di Lisbon, salah satu karya kreatifnya yang sangat dikenali iaitu empat meter tinggi lakaran seekor rakun yang dihasilkan dengan menggunakan tayar kereta yang telah dibuang, bampar kereta dan komponen-komponen elektrik sekali gus menyinari lagi keindahan laluan pejalan kaki di kawasan pinggir sungai di Belem.

    “Haiwan merupakan satu karakter di mana penduduk awam akan dapat mengenalinya dengan cepat dan saya mahu orang ramai menilai serta melihat bagaimana tindakan masyarakat kita terhadap alam sekitar,” kata Artur Bordalo, yang mana lebih selesa dipanggil Bordalo II, sempena nama moyangnya, Artur Real Bordalo, yang turut mempunyai kepakaran seni yang sama, mengecat.

    Bordalo menggunakan beberapa kelengkapan yang mana sangat berbahaya kepada haiwan-haiwan sekali gus meningkatkan lagi kempen kesedaran, katanya dalam satu temu ramah bersama AFP di studionya yang terletak di Lisbon sambil mengunting plastik daripada tong sampah untuk mencipta arca seekor tikus.

    Lelaki berkumis yang berusia 31 tahun itu telah mendekorasi kebanyakan dinding-dinding bangunan di Portugis dan beberapa lagi buah bandar di seluruh dunia dengan karya kreatifnya yang berwarna-warni. – AFP
    Bordalo menggunakan beberapa kelengkapan yang mana sangat berbahaya kepada haiwan-haiwan sekali gus meningkatkan lagi kempen kesedaran. – AFP

    Bordalo II, yang memakai baju kelabu dan seluar joging serta bertatu, sering kali mengutip dan memilih sampah yang dibuang untuk digunakan dalam penciptaan arca kreatifnya itu di kawasan pembuangan sampah di Lisbon dan juga di Curbsides.

    Semasa dia tidak melakukan sebarang pelayaran ke luar negara, dia sering bekerja dan menghabiskan masa untuk menyelesaikan arca-arca kreatifnya itu di studio kecil miliknya yang terletak di tingkat bawah sebuah bangunan pekerja di kawasan utara Lisbon sambil mendengar muzik elektronik. “Jadual saya memang padat untuk beberapa tahun yang akan datang, namun masalah utama saya adalah untuk mencari masa yang sesuai untuk menghabiskan arca kreatif ini,” tambah artis seni itu sambil tersenyum.

    Lisbon ke Las Vegas

    Dilahirkan di Lisbon pada tahun 1987, dia telah memulakan langkah pertama sebagai seorang artis seni di studio datuknya, yang mana turut terkenal sebagai seorang pelukis seni yang indah menerusi karya-karyanya yang hebat di Lisbon dan telah meninggal dunia pada tahun lepas.

    Bordalo II telah meneruskan pembelajaran seni di Universiti Lisbon dan membuat keputusan untuk memfokuskan keghairahannya dalam bidang grafiti.

    Dia berkata bahawa dia telah mendapat idea untuk mencipta arca daripada sampah semasa sedang membuat satu grafiti.

    Di Lisbon, salah satu karya kreatifnya yang sangat dikenali iaitu empat meter tinggi lakaran seekor rakun.

    “Pada satu hari, saya mula untuk mengumpulkan dan mengutip beberapa objek lalu mewarnakannya dan dari situ saya mula menyedari, jika saya gunakan semua benda buangan ini untuk mencipta sesuatu yang lebih berestetika dan menarik serta memberikan satu makna,” tambahnya lagi kepada media.

    Tambahan yang baik untuk sebuah bandar

    Berikutan dengan kejayaan Bordalo II itu sebagai seorang artis seni yang kreatif, Organisasi Gulbenkian yang terkenal di Lisbon khususnya dalam barangan antik mewah di benua Eropah, telah mempamerkan salah satu karya Bordalo II yang diletakkan di kawasan taman bangunan itu sehinggalah penghujung bulan depan.

    “Arca tersebut memaparkan satu corak seperti seekor beruang bersama dengan anak-anaknya dan telah berjaya mempamerkan satu kemusnahan ekologi terhadap generasi-generasi seterusnya,” kata jurucakap muzium tersebut, Ines Rapazote kepada media AFP.

    Bordalo II merupakan salah seorang daripada beberapa orang artis seperti Vhils dan Pantonio yang telah menggunakan dinding-dinding kedai di pinggir-pinggir jalan untuk mempamerkan karya kreatif mereka malah usaha mereka ini disokong baik oleh pihak perbandaran bandar raya tersebut untuk menjadikan lereng kedai tersebut sebagai lorong seni kreatif.

    “Lisbon merupakan bandaraya pertama yang telah membenarkan para artis jalanan untuk melukis karya mereka di dinding-dinding bangunan di bandarr aya tersebut,” kata Pedro Farinha, jurupandu pelancong, Estrela d’Alva yang telah mula beroperasi sejak tahun 2014 dan menambah bahawa dinding kelabu tidak membawa apa-apa erti. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda