Artis wanita Zimbabwe bercerita melalui arca

CHITUNGWIZA, ZIMBABWE – Menggenggam tukul dan pahat dengan kuat, Simelokuhle Zibengwa, seorang pengukir batu, dengan mudah memecahkan ketulan batu kecil.

Serpihan-serpihan berwarna putih jatuh ketika dia memalu batu dengan berhati-hati. Selepas beberapa ketika, dan dengan usaha yang gigih, figura arnab dapat dilihat mula terbentuk. Karya-karya seni Zibengwa bukan sahaja menjadi keajaiban kepada orang yang melihat, ia malah menceritakan kisah-kisah yang berbeza melalui arca batu berukir. Artis terkenal itu menggunakan seni kiasan dalam bentuk arnab untuk menceritakan kisah kehidupan manusia, khususnya perjuangan wanita sehari-hari.

“Arnab bukan arnab liar yang realistik. Ia adalah abstrak kreatif, dan ia menggambarkan kehidupan manusia,” kata Zibengwa kepada Xinhua.

Dia berkata dengan menggunakan arnab yang dipersonifikasikan, seninya bertujuan untuk mencipta seni yang menimbulkan tindak balas emosi kepada audien. Salah satu karya Zimengwa menggambarkan arnab bermain dram Afrika. Satu lagi menunjukkan ibu arnab menunjukkan kasih sayang kepada anaknya.

“Sifat arnab yang mempengaruhi keputusan saya untuk membuat seni bertemakan arnab ialah bagaimana arnab berani digambarkan dalam cerita dongeng yang kami diberitahu (semasa kanak-kanak) tentang arnab dan babun. Akhirnya, awda akan melihat arnab mempamerkan keberanian, walaupun dalam keadaan yang sukar, arnab akan menang,” tambahnya.

Agness Mpariwa, seorang artis yang memfokuskan pada seni abstrak, kelihatan mengukir pada batu di Pusat Seni Chitungwiza. – Xinhua
Lorraine Mamvura, seorang artis yang memberi tumpuan kepada seni realistic. – Xinhua

Dari segi sejarah, orang Shona yang menduduki Zimbabwe masa kini telah menggunakan cerita rakyat untuk memalukan tingkah laku buruk, untuk mendidik dan memelihara norma budaya, nilai dan sejarah.

Nenek-nenek yang sering ditugaskan untuk menjaga kanak-kanak, menceritakan kisah-kisah yang sering melibatkan watak haiwan yang dipersonifikasikan. Salah satu cerita rakyat yang terkenal di mana masyarakat purba memalukan tingkah laku buruk ialah kisah arnab dan babun, di mana babun itu telah ditipu oleh arnab.

“Seni arnab bercerita tentang kehidupan harian wanita. Ia mengisahkan bagaimana ia hidup bersama anak-anaknya, bagaimana ia meraikan kehidupan, dan ia juga mengajar, terutamanya kanak-kanak perempuan yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah untuk tidak menyalahgunakan dadah,” kata Zibengwa.

Hari ini, artis seperti Zibengwa mengukir tempat mereka dalam industri seni yang didominasi lelaki, memainkan peranan mereka dalam mengekalkan tradisi lama menggunakan haiwan yang dipersonifikasikan untuk bercerita.

Ketika dunia meraikan bulan wanita, Zibengwa dan pengukir wanita lain di Pusat Seni Chitungwiza berdekatan Harare menggunakan seni untuk menuntut semula naratif mereka.

Sejak pusat itu dibuka pada tahun 1997, ia telah menyediakan platform untuk wanita, belia dan orang kelainan upaya mendapat pendedahan daripada artis berpengalaman.

Tidak seperti Zibengwa, Lorraine Mamvura memfokuskan pada seni yang realistik, mencipta arca manusia yang menyerupai manusia.

“Seni saya tertumpu kepada wanita kerana saya ingin merangkul dan mempamerkan kepentingan wanita dalam masyarakat,” kata Mamvura.

Karya seninya termasuk figura bersaiz penuh dan karya kecil. Salah satu karya yang dipamerkan mengisahkan tentang wabak, dengan langkah pencegahan tertulis pada batu itu.

“Jadi seni saya adalah tentang menerangkan peranan seorang wanita, pertemuan sehari-hari yang kami hadapi setiap hari,” katanya.

“Sebahagian daripada karya seni saya menggambarkan cinta, kasih sayang ibu, penjagaan ibu, ibu harus menjaga orang yang tersayang,” tambah Mamvura.

Seorang lagi artis, Agness Mpariwa memfokuskan pada seni abstrak, yang tidak cuba untuk mewakili gambaran yang tepat tentang realiti visual sebaliknya menggunakan bentuk untuk mencapai kesannya.

“Seni saya dipanggil abstrak, ia adalah bentuk visual yang menggambarkan cinta, dan mencerminkan warna yang indah, persekitaran perkara-perkara indah yang saya temui, tetapi dalam bentuk abstrak,” kata Mpariwa.

Seninya juga meluahkan perkara yang tidak kelihatan seperti emosi atau perasaan.

“Mesej yang saya sampaikan ialah kita harus saling menyayangi,” katanya.

Selain itu, Mpariwa berkata audien juga boleh membayangkan naratif mereka dengan melihat karya itu. Zimbabwe mempunyai sejarah panjang dalam kerja batu sebagai cara pembinaan, hiasan dan sebagai cara memelihara sejarah.

Nama negara ‘Zimbabwe’, yang bermaksud rumah batu, berasal daripada istilah Shona untuk Great Zimbabwe yang bersejarah, sebuah bandar zaman pertengahan yang dibina daripada batu berukir tanpa mortar.

Kebanyakan batu yang digunakan dalam arca Zimbabwe tergolong dalam keluarga Serpentine, sejenis sedimentari, metamorfik yang boleh ditemui dalam pelbagai warna.

Industri arca batu yang terkenal di negara itu menarik sebahagian besar pengunjung asing setiap tahun, menyumbang kepada sektor pelancongan. Karya beberapa artis wanita terkenal tanah air telah dipamerkan di seluruh dunia. – Xinhua