Arwah benar-benar seorang abang! – Awie

“Love you (sayang kamu), bro… Get well soon (semoga cepat sembuh).”

Demikian antara kata-kata akhir paling diingati pelakon dan penyanyi, Datuk Awie dalam perbualannya dengan pengarah dan penerbit, Allahyarham Mamat Khalid yang meninggal dunia, tengah malam tadi.

Awie atau nama sebenar, Ahmad Azhar Othman berkata, pemergian Mamat umpama kehilangan seorang abang buat dirinya.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah adalah ketika tayangan filem Kampong Pisang Muzikal Raya. Tapi, kami kerap bertanya khabar menerusi telefon dan kiriman WhatsApp.

“Ketika saya menjalani pembedahan sebelum ini, dia ada hubungi saya. Bila dia cakap ‘Love you, bro’, memang saya ingat kata-kata itu sebab jarang kita dapat dengar Abang Mamat cakap begitu.

Mamat, 58, menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak. – Agensi

“Apabila dapat berita pemergiannya, saya rasa kehilangan sampai menitiskan air mata. Dia umpama seorang abang buat saya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Awie yang popular dengan watak Hussin dalam beberapa filem Kampong Pisang arahan Mamat, dia menerima banyak ilmu daripada Mamat terutamanya dalam lakonan komedi.

“Arwah bahasakan dirinya abang dan dia benar-benar menjadi ‘abang’ yang mendidik kami semua tak kiralah pelakon, kru dan seluruh pasukan produksi.

“Sebagai abang, arwah ada banyak ilmu dan pengalaman yang dikongsinya. Dia membimbing saya terutama untuk berlakon watak komedi.

“Dalam mendidik, arwah tak menunjukkan dirinya sebagai pelawak sebab dia tegas. Namun, dia akan tunjukkan satu persatu cara lakonan,” katanya.

Antara pesanan yang pernah dikongsi Allahyarham Mamat kepada Awie adalah, pelawak tidak perlu melawak sepanjang masa.

“Dia cakap, nak jadi pelawak, jangan ‘berlagak’ komedi. Kena ikut situasi dan bukan sepanjang masa nak kena buat lawak,” katanya.

Mamat, 58, menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak, jam 12:30 tengah malam tadi. – Agensi