NEW YORK, 8 MEI – Pentadbiran Biden sedang mengusahakan peraturan baharu yang memerlukan syarikat penerbangan memberi pampasan kepada penumpang serta menampung perbelanjaan makanan dan bilik hotel mereka jika mereka terkandas atas sebab-sebab dalam kawalan syarikat penerbangan itu.
Rumah Putih berkata Presiden Joe Biden dan Setiausaha Pengangkutan, Pete Buttigieg akan mengumumkan permulaan proses penggubalan peraturan hari ini.
Ikrar penggubalan peraturan tersebut meneruskan desakan oleh pentadbiran Demokrat untuk menghendaki syarikat penerbangan meningkatkan mutu perkhidmatan pelanggan, dan ia datang hanya beberapa minggu sebelum permulaan musim kemuncak perjalanan musim panas.
Matlamat peraturan itu adalah, buat kali pertama, untuk menghendaki syarikat penerbangan membayar pampasan melebihi bayaran balik tiket dan untuk menampung perbelanjaan yang ditanggung pengguna, termasuk menempah semula penerbangan lain, jika syarikat penerbangan itu menyebabkan pembatalan atau kelewatan yang signifikan.
“Apabila syarikat penerbangan menyebabkan pembatalan atau kelewatan penerbangan, penumpang tidak sepatutnya menanggung kerugian tersebut,” kata Buttigieg dalam satu kenyataan. – AP