AS, ASEAN tumpu kerjasama, perkongsian strategik

KUALA LUMPUR, 6 OGOS – Dialog AS-ASEAN ke-33 yang berlangsung hari ini memberi penekanan kepada  kerjasama yang luas menerusi tonggak politik, Keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya antara kedua-dua belah pihak, sambil menekankan pentingnya Perkongsian Strategik  dalam menjamin wilayah Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.

Menurut Jurucakap pejabat Jabatan Negara AS, dialog itu dipengerusikan bersama oleh Timbalan Menteri Luar Laos Thongphane Savanphet dan Penolong Setiausaha David R. Stilwell dari Biro Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik Jabatan Luar AS.

“AS menegaskan kembali komitmennya untuk bekerja dengan ASEAN dalam keamanan wilayah berdasarkan peraturan yang jelas dan telus, dan untuk memperkuat seni bina serantau yang berpusat di ASEAN,” kata pegawai berkenaan dalam catatan media di laman web Jabatan Negara AS.

Peserta dialog juga menegaskan perlunya penyelesaian perdamaian konflik di Laut China Selatan mengikut undang-undang antarabangsa seperti yang ditunjukkan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-undang Laut dan penyelesaian Tribunal Arbitral 2016.

Sementara itu, mengenai isu Korea Utara, AS mendesak negara-negara ASEAN untuk terus melaksanakan dan menguatkuasakan sekatan PBB.

Washington juga menekankan bahawa Pyongyang harus menghentikan provokasi, mematuhi kewajipannya di bawah Resolusi Majlis Keselamatan PBB, dan terlibat dalam rundingan berterusan dengan AS untuk mencapai sepenuhnya negara tanpa senjata nuklear. – Bernama