WASHINGTON, 1 FEB – Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, memberitahu Kongres bahawa kerajaan akan menamatkan darurat COVID pada 11 Mei ini, berikutan kebanyakan negara sudah hampir kembali normal.
Langkah untuk menamatkan darurat dan kecemasan kesihatan awam secara rasmi itu akan menyusun semula tindak balas rawatan COVID yang sebelum ini dianggap sebagai ancaman endemik kepada kesihatan awam dan kini boleh diuruskan oleh pihak berkuasa biasa.
Pengumuman Biden itu dibuat ketika Republikan mengemukakan usul menentang resolusi menamatkan darurat serta memulakan siasatan terhadap tindak balas kerajaan Persekutuan dalam menangani ancaman koronavirus.
Darurat yang diumumkan Presiden Donald Trump itu telah dilanjutkan beberapa kali oleh Biden sejak beliau memegang jawatan berkenaan pada Januari 2021. Pejabat Pengurusan dan Belanjawan, dalam Penyata Dasar Pentadbiran, menyatakan pemberhentian secara mendadak darurat itu akan mewujudkan ketidakpastian dan huru-hara dalam sistem penjagaan kesihatan negeri, hospital dan paling penting kepada puluhan juta rakyat AS.
Tindakan Kongres menamatkan kecemasan kesihatan awam turut mengakhiri tawaran perlindungan insurans kepada jutaan penduduk AS dan pembiayaan kebanyakan program kerajaan Persekutuan berkaitan COVID. – AP
