KOTA KINABALU, 20 OGOS – Amerika Syarikat (AS) bekerjasama dengan Sabah dan kerajaan Malaysia dalam membantu usaha melindungi dan memulihara kepelbagaian biodiversiti yang unik di Negeri Di Bawah Bayu, kata Duta Besar AS di Malaysia Brian D. Mcfeeters.
Mcfeeters berkata usaha itu amat penting ke arah kemampanan biodiversiti dunia dan menangani isu perubahan iklim demi kepentingan bersama antara AS, Malaysia dan dunia.
Katanya, melalui Biro Narkotik Antarabangsa dan Hal Ehwal Penguat-kuasaan Undang-Undang Jabatan Negara AS, pihak kedutaanya telah memberikan bantuan melindungi kepelbagaian biodiversiti yang penting bagi kesihatan dan pelancongan alam sekitar di Sabah melalui geran AS$1 juta (RM4.23 juta) untuk mengadakan program latihan memerangi jenayah pemerdagangan hidupan liar.
“Keindahan dan keunikan kepelbagaian biodiversiti Sabah adalah unik di dunia, dan AS melihat bahawa pemuliharaanya sama penting dalam melindungi rakyat Malaysia, rantau ini dan juga perubahan iklim yang merupakan isu dunia.
“Sabah adalah sebahagian daripada usaha menangani isu perubahan iklim dengan penyerapan karbon yang luar biasa dengan karbon dioksida diserap oleh hutan. Oleh itu menjadi kepentingan AS untuk mengadakan program ini,” katanya dalam sidang media secara dalam talian dengan media Sabah hari ini.
Sidang media itu adalah sebahagian daripada lawatan secara maya Duta AS itu ke Sabah, bermula 16 Ogos melalui beberapa siri pertemuan dengan pegawai kerajaan negeri, wakil dari pelbagai badan bukan kerajaan, dan program alumni rakyat Sabah bagi program Pertukaran Kedutaan AS.
Dalam pertemuan dengan pegawai dari Taman-Taman Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah, dan badan bukan kerajaan (NGO) lain yang memberi tumpuan terhadap alam sekitar, Mcfeeters memaklumkan fokus kerajaan AS adalah mengenai krisis iklim dan keinginan untuk menyokong usaha Malaysia dalam mengatasi cabaran ini. – Bernama
