AS benarkan kemasukan pelancong sudah divaksin

WASHINGTON, 5 OGOS – Amerika Syarikat (AS) yang menutup sempadannya kepada sebahagian besar dunia akibat pandemik COVID-19, bercadang membenarkan semula pelancong asing yang sudah lengkap divaksin memasuki negara itu.

Menurut kenyataan Rumah Putih semalam, pentadbiran Presiden AS, Joe Biden menyedari pentingnya kehadiran pelancong antarabangsa dan bercadang supaya negara dibuka semula kepada pengunjung dari luar negara dengan cara ‘selamat dan lestari’.

“Ini akan dilaksanakan secara bertahap dengan menekankan pelancong dari semua negara yang akan memasuki AS perlu membuktikan sudah mendapat vaksin COVID-19 lengkap,” katanya tetapi tidak memaklumkan mengenai jangka masa bila ia akan dilaksanakan.

Menurut kenyataan itu lagi, rancangan itu menandakan evolusi signifikan pendekatan kerajaan AS membendung pandemik itu, yang ketika ini masih mengekalkan sekatan terhadap kedatangan pelancong antarabangsa.

“Sekumpulan individu sedang menyediakan sistem baharu yang lebih ‘konsisten dan selamat’ untuk kemasukan pelancong antarabangsa sebaik saja mendapat kebenaran untuk membuka sempadan negara,” katanya.

AS sebelum ini melarang kemasukan pelancong dari negara Kesatuan Eropah (EU), Britain, China dan Iran selama lebih dari satu tahun kerana pandemik COVID-19, sebelum menambah negara lain termasuk Brazil dan India.

Virus COVID-19 varian Delta mendorong peningkatan kes jangkitan itu di AS, terutama di kalangan orang yang belum divaksinasi. – AFP

Gambar fail menunjukkan seorang pelawat memeriksa telefonnya di balai ketibaan di luar lapangan terbang O’Hare, Chicago, Illinois. AS bercadang membenarkan semula pelancong asing yang sudah lengkap divaksin memasuki negara itu. – AFP