WASHINGTON, 28 Jan – Lebih enam daripada 10 rakyat Amerika Syarikat (AS) percaya negara itu sedang menuju hala tuju yang salah, demikian menurut satu tinjauan semalam.
Menurut tinjauan dikeluarkan NBC News/Wall Street Journal itu, 63 peratus responden mengatakan AS sedang menuju ke landasan salah manakala 28 peratus lagi berpendapat sebaliknya.
Sejak Julai 2016, peratusan rakyat yang percaya negara berada di landasan tepat semakin menurun, lapor agensi berita Xinhua. Seramai 68 peratus lagi memberikan gambaran negatif terhadap perkembangan AS.
Tinjauan itu dijalankan sebelum Rumah Putih mencapai persetujuan dengan Parti Demokrat untuk membuka semula kerajaan. Tidak dapat dipastikan sama ada persetujuan membuka semula kerajaan tanpa mengeluarkan pembiayaan tembok sempadan menyumbang kepada penurunan sokongan di kalangan pengikut setia Presiden Donald Trump.
Penutupan kerajaan AS kali ini adalah yang paling lama dalam sejarah susulan pertikaian mengenai dana pembiayaan tembok sempadan AS-Mexico. – Bernama

































