AS beri amaran dron China mungkin curi data

BEIJING, 21 Mei – Washington memberi amaran yang dron-dron buatan China mungkin memberikan agensi-agensi perisikan di Beijing ‘akses bebas’ untuk mencuri data, menurut satu laporan dalam media Amerika.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri mengeluarkan amaran kelmarin mengenai dron buatan China sebagai “berpotensi berisiko kepada maklumat organisasi,” lapor CNN.

Kerajaan AS sudah lama ‘bimbang tentang mana-mana produk teknologi yang mengambil data Amerika masuk ke wilayah sebuah kerajaan autoritarian yang membenarkan perkhidmatan perisikannya untuk mempunyai akses meluas kepada data atau menyalahgunakan akses tersebut,” lapor CNN memetik amaran DHS.

Amaran itu muncul ketika sektor teknologi China menarik penelitian rapi yang tidak pernah berlaku dahulu di tengah-tengah perang perdagangan China-AS.

Washington telah menambah ‘kehangatan’ lagi ke atas Huawei China dengan menegah syarikat-syarikat Amerika daripada menjual atau memindahkan teknologi AS kepada syarikat telekom itu, walaupun Jabatan Perdagangan AS telah memberi jaminan firma itu penangguhan selama 90 hari.

Perisikan AS percaya Huawei telah disokong oleh tentera China dan peralatannya itu boleh membekalkan agensi-agensi perisikan Beijing dapat akses ke dalam rangkaian komunikasi negara lain.

Washington juga menekan sekutu rapatnya untuk menolak teknologi Huawei.

Laporan DHS tidak menamakan pengilang China itu secara spesifik namun DJI yang berpangkalan di selatan China menghasilkan kira-kira 70 peratus dron komersial di dunia.

Pentagon telah menegah tentera daripada menggunakan dron DJI atas sebab keselamatan sejak 2017. – AFP