WASHINGTON, 24 Jan – Rumah Putih memberi amaran kepada China bahawa ia akan mempertahankan kepentingan Amerika Syarikat (AS) dan masyarakat antarabangsa di Laut China Selatan dan menegaskan perdagangan mesti secara dua hala.
Memberi isyarat pendirian tegas Presiden Donald Trump terhadap Beijing, jurucakap Rumah Putih, Sean Spicer, berkata AS akan memastikan ia akan mempertahankan kepentingannya di rantau itu.
“Jika pulau yang menjadi pertikaian itu pada hakikatnya berada di kawasan perairan antarabangsa dan bukan sebahagian daripada China, kami pasti akan mempertahankan kepentingan antarabangsa daripada dirampas oleh satu negara.”
Katanya China menuntut sebahagian besar daripada Laut China Selatan, apa yang dipanggil ‘sembilan garis putus’, termasuk perairan yang turut dituntut beberapa negara jiran.
Minggu lalu, bekas Ketua Eksekutif ExxonMobil, yang juga calon Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson, menggesa tindakan lebih tegas dan menganggap pembinaan pangkalan tentera di pulau yang menjadi rebutan itu sebagai menyalahi undang-undang.
“Kita perlu bertindak tegas terhadap China, pertama menghentikan pembinaan bangunan dan kedua tidak membenarkan akses ke kawasan pulau terbabit,” kata Tillerson.
Sementara itu, Spicer berkata Presiden Trump menyedari firma AS memerlukan akses yang lebih besar kepada pasaran besar China, tetapi beliau tidak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan oleh China.
“Dalam banyak kes, ia bukan hubungan dua hala, sedangkan ramai usahawan dan individu dari China dengan mudah menjual barangan dan perkhidmatan mereka di Amerika Syarikat,” katanya.
Spicer juga menyentuh had yang dikenakan oleh China terhadap perkhidmatan kewangan dan perbankan AS dan kesukaran firma AS untuk melindungi hak harta intelek mereka. – AFP