WASHINGTON, 6 Mei –Amerika Syarikat (AS) menghantar kumpulan kapal pengangkut pesawat penggempurnya berhampiran Iran sebagai mesej jelas kepada Tehran, lapor agensi berita Sputnik memetik kenyataan Penasihat Keselamatan Negara, John Bolton.
“Sebagai tindak balas kepada beberapa petunjuk dan peringatan, AS mengerahkan kapal pengangkut pesawat penggempur USS Abraham Lincoln dan pasukan pengebom ke wilayah Pusat Kawalan AS sebagai mesej jelas kepada rejim Iran, bahawa apa jua serangan terhadap kepentingan AS atau sekutu akan dibalas dengan serangan yang berterusan,” menurut kenyataan itu.
Pusat Kawalan AS diwujudkan di Timur Tengah, termasuk Mesir di Afrika dan Asia Tengah, terutamanya Afghanistan dan Iraq. Pasukan itu aktif dalam banyak kempen ketenteraan di rantau ini.
Tambah Bolton, Washington “tidak berniat mencetuskan peperangan” dengan Iran, tetapi ia sebagai persiapan “untuk bertindak balas terhadap sebarang serangan, sama ada dilakukan oleh proksi, Kor Pengawal Revolusi Islam atau pasukan tentera biasa Iran.”
Ketegangan antara Iran dan AS tercetus sejak Mei 2018 apabila Presiden Donald Trump, sering mengkritik perjanjian nuklear Iran dan menarik diri daripada kesepakatan itu.
Dalam masa kurang setahun, Washington melancarkan sekatan besar-besaran terhadap Iran, menyasarkan kewangan, pengangkutan, tentera dan lain. – Bernama