NEW YORK, 19 JUN – Amerika Syarikat (AS) kelmarin akan memberikan vaksin COVID kepada anak damit, kanak-kanak bertatih serta kanak-kanak tadika.
Suntikan tersebut akan mula tersedia minggu hadapan sekali gus memperluaskan kempen vaksinasi negara kepada kanak-kanak seawal enam bulan.
Terdahulu, Penasihat Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) telah meluluskan vaksin berkenaan untuk kanak-kanak kecil dan pengumuman kelulusannya dibuat beberapa jam kemudian daripada pengarah agensi tersebut iaitu Dr Rochelle Walensky.
“Kami tahu berjuta-juta ibu bapa dan penjaga tidak sabar-sabar untuk melihat anak-anak mereka divaksinasi, dan kini mereka dibolehkan,” kata Walensky dalam satu kenyataan.
Walaupun Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan meluluskan vaksin, CDC yang bertanggungjawab memutuskan siapa yang harus mendapatkannya.
Suntikan tersebut menawarkan perlindungan kanak-kanak kecil daripada dimasukkan ke hospital, kematian dan kemungkinan komplikasi jangka panjang yang masih belum difahami dengan jelas, kata panel penasihat CDC.
Kerajaan telah pun bersiap sedia bagi pengembangan vaksin, dengan berjuta-juta dos dibeli untuk diagihkan kepada doktor, hospital dan klinik kesihatan masyarakat di seluruh negara.
Kira-kira 18 juta orang kanak-kanak akan layak menerima suntikan tersebut, tetapi masih belum diketahui berapa ramai yang akhirnya akan mendapat vaksin.
Kurang daripada satu pertiga daripada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun telah menerima suntikan sejak vaksinasi dibuka kepada mereka pada November lalu. – AP