WASHINGTON, 11 JAN – Pakar bedah AS telah berjaya melakukan implan jantung daripada khinzir yang diubahsuai secara genetik pada seorang lelaki berusia 57 tahun, kejayaan perubatan pertama yang suatu hari nanti boleh membantu menyelesaikan kekurangan kronik pendermaan organ.
Prosedur ‘bersejarah’ itu berlaku pada Jumaat lalu, kata sekolah perubatan universiti Maryland dalam satu kenyataan pada Isnin lalu. Walaupun prognosis pesakit masih belum dapat dipastikan, ia merupakan peristiwa penting bagi pemindahan haiwan kepada manusia.
Pesakit, David Bennett, telah dianggap tidak layak untuk pemindahan manusia – keputusan yang sering diambil apabila penerima mempunyai tahap kesihatan asas yang sangat teruk.
Dia kini semakin pulih dan dipantau dengan teliti untuk menentukan prestasi organ baharu itu.
“Ia sama ada mati atau melakukan pemindahan ini. Saya mahu hidup. Saya tahu ia adalah peluang yang sangat tipis, tetapi ia adalah pilihan terakhir saya,” kata warga Maryland itu sehari sebelum pembedahan.
Bennett, yang telah menghabiskan beberapa bulan terakhir terlantar di atas mesin pintasan jantung paru-paru, menambah: “Saya tidak sabar untuk bangun dari katil selepas saya pulih.” – AFP