AS boikot Olimpik Beijing 2022

LAUSANNE, 7 DIS – Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) berkata mereka menghormati pengumuman kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengenai boikot diplomatik terhadap Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.

AS hari ini mengumumkan pemulauan diplomatik ke atas Sukan Olimpik tersebut sebagai bantahan terhadap rekod hak asasi manusia China, namun AS tetap akan menghantar atlet ke temasya berkenaan.

Washington mengambil tempoh beberapa bulan untuk memutuskan pendirian berhubung sukan itu, yang dihoskan negara didakwa melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Uighur beragama Islam di Xinjiang.

Tindakan itu menerima kecaman serta merta dari Beijing, di mana Kementerian Luar Negara China telah mengancam ‘tindak balas tegas’ jika sebarang boikot sedemikian dilaksanakan. “Percubaan AS untuk campur tangan dalam Olimpik Musim Sejuk Beijing dilakukan berdasarkan prasangka ideologi, desas-desus dan pembohongan, hanya akan mendedahkan niatnya yang jahat,” beritahu jurucakap kementerian luar China Zhao Lijian kepada pemberita.

“AS harus berhenti mempolitikkan sukan dan menghentikan perbuatan yang campur tangan dan menjejas Olimpik Musim Sejuk Beijing.”

IOC berkata pengumuman kerajaan AS menjelaskan Sukan Olimpik dan penyertaan atlet adalah menjangkau kuasa politik dan ia sangat dialu-alukan.

“Kehadiran pegawai kerajaan dan diplomat adalah keputusan politik semata-mata untuk setiap kerajaan. Di mana IOC memilih politik berkecuali untuk menghormati sepenuhnya apa-apa keputusan,” menurut jurucakap IOC.

“Sokongan daripada atlet dan Sukan Olimpik sudah dinyatakan beberapa kali sejak beberapa bulan lalu, kebanyakannya daripada revolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan tema ‘Membina dunia aman dan lebih baik menerusi sukan dan bersesuaian dengan penganjuran temasya Olimpik.’ – AFP

Gambar fail menunjukkan seorang pegawai polis berdiri berhampiran poster seorang peluncur ski di stesen kereta api di Zhangjiakou di wilayah Hebei, China. – AP