WASHINGTON, 29 Jan – Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS) semalam mengenakan dakwaan ke atas syarikat telekomunikasi China, Huawei, dalam dua kes yang mungkin menambah ketegangan di antara dua kuasa terbesar itu, termasuk penahanan seorang eksekutif tertinggi di Kanada di bawah waran tangkap AS.
Jabatan itu mengumumkan 13 dakwaan ke atas Huawei Technologies, ketua pegawai kewangannya Meng Wenzhou, anak perempuan pengasas syarikat yang kini diikat jamin di Kanada, dan dua anggota gabungan berkaitan dengan pencabulan sekatan AS ke atas Iran.
Kes Meng telah mencetuskan krisis besar di antara Beijing dan Ottawa, yang dituduh menjalankan arahan Washington.
Pendakwaan diumumkan tatkala perunding perdagangan tertinggi China tiba di Washington untuk rundingan dengan pegawai AS, kemungkinan merumitkan perbincangan sebelum tarikh akhir pada Mac untuk mengelak perang perniagaan mereka.
Di samping itu, 10 dakwaan persekutuan AS difailkan ke atas dua anggota gabungan Huawei kerana mencuri teknologi robot daripada T-Mobile.
“Kedua-dua set dakwaan mendedahkan tindakan Huawei yang berani untuk mengeksploitasi syarikat Amerika dan institusi kewangan, dan menggugat pasaran global yang bebas dan adil,” kata Pengarah FBI Christopher Wray.
China bertindak marah, berkata terdapat ‘manipulasi politik kuat’ di sebalik kes Huawei.
Dalam satu kenyataan yang dihantar kepada AFP, Huawei menafikan bahawa ‘ia atau subsidiari atau anggota gabungannya telah melakukan sebarang pencabulan undang-undang AS yang dikemukakan dalam setiap pendakwaan’.
“Firma tidak sedar tentang sebarang kesalahan yang dilakukan oleh Meng Wenzhou, dan percaya mahkamah AS akan mencapai kesimpulan yang sama,” tambahnya. – AFP


































