AS buka sempadan untuk pelancong sudah divaksin

WASHINGTON, 13 OKT – Amerika Syarikat (AS) akan membuka sempadannya dengan Mexico dan Kanada pada awal bulan November bagi pelancong yang sudah divaksin sepenuhnya, umum pegawai kanan Rumah Putih kelmarin.

Pegawai tersebut menyatakan pentadbiran akan memberikan ‘tarikh yang tepat tidak lama lagi’ – bagi penyeberangan darat dan juga perjalanan udara antarabangsa, yang akan dijadualkan untuk ‘pergi bersama’.

AS sudah mengumumkan pada bulan September bahawa mereka akan melonggarkan sekatan pada bulan November untuk semua penumpang udara yang sudah divaksin yang menjalani ujian dan pengesanan kontak.

Dalam usaha untuk membendung penularan COVID-19, sempadan AS telah ditutup pada bulan Mac 2020 kepada pelancong yang datang dari Kesatuan Eropah, Britain dan China, serta India dan Brazil. Pelancong yang datang dari Mexico dan Kanada juga tidak dibenarkan untuk masuk.

Sekatan selama 19 bulan itu menyebabkan kesan buruk terhadap masalah peribadi dan ekonomi.

Sumber Rumah Putih berkata pembukaan sempadan darat akan dilakukan dalam dua fasa. Pada awalnya, vaksin diperlukan untuk perjalanan ‘tidak penting’ – seperti mengunjungi keluarga atau pelancongan – walaupun pelancong yang belum divaksin masih dibenarkan masuk ke negara tersebut untuk perjalanan ‘penting’.

Fasa kedua bakal bermula pada ‘awal Januari’ 2022 memerlukan semua pegunjung di AS untuk divaksin sepenuhnya, tanpa mengambil kira sebab perjalanan mereka.

“Pendekatan berfasa ini akan memberikan banyak masa bagi pelancong penting seperti pemandu trak dan yang lain untuk mendapatkan vaksin, bagi membolehkan peralihan yang lancar ke sistem baharu,” kata pegawai itu.

Pegawai senior itu mengatakan cadangan yang terbaharu daripada pihak berkuasa kesihatan AS untuk panduan mengenai pilihan vaksin yang membolehkan pengunjung untuk masuk. Pegawai Rumah Putih mengatakan kelmarin butiran masih disusun untuk membolehkan pelancong udara yang sudah divaksin memasuki AS, termasuk pelan untuk melakukan pengesanan kontak terhadap pelancong tersebut. Penumpang juga akan diuji untuk COVID-19, menurut pegawai tersebut. – AFP

Amerika Syarikat akan membuka sempadan dengan Mexico dan Kanada pada awal bulan November bagi pelancong yang sudah divaksin sepenuhnya terhadap COVID-19. – AFP