MOGADISHU, 3 OKT – Selepas 28 tahun, Amerika Syarikat (AS) membuka semula kedutaannya di Somalia semalam, lapor agensi berita Anadolu.
“AS dengan bangga mengumumkan pembukaan semula Kedutaan Amerika di Mogadishu,” kata Misi AS dalam satu kenyataan di laman webnya.
Menurut kenyataan itu, walaupun kedutaan berkenaan ditutup, AS tidak pernah mengabaikan Somalia atau berhenti berurusan dengan negara tersebut.
“Sejak penutupan pada 5 Januari 1991, AS terus mengekalkan kerjasama dengan rakyat Somalia, termasuk menghantar semula wakil diplomatik di Mogadishu pada Disember 2018.”
Tambah kenyataan itu, pembukaan semula kedutaan di Mogadishu satu lagi langkah ke depan bagi menyambung semula hubungan AS-Somalia.
Ia juga “menggambarkan kekukuhan hubungan kedua-dua negara, kemajuan pembangunan, kestabilan serta keamanan di Somalia, dan rantau ini”.
Duta Besar Donald Yamamoto, yang merasmikan majlis pembukaan itu berkata “hari ini kita mengesahkan semula hubungan antara rakyat Amerika dan Somalia serta hubungan kedua-dua negara”.
“Ia hari yang penting dan bersejarah mencerminkan kemajuan Somalia sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan satu lagi langkah ke depan dalam mengadakan hubungan diplomatik AS di Mogadishu sejak kerajaan persekutuan Somalia diiktiraf pada 2013,” katanya. – Bernama


































