AS buka semula sempadan selepas 20 bulan

WASHINGTON, 8 NOV – Amerika Syarikat (AS) membuka semula sempadan darat dan udaranya mulai hari ini kepada pelawat asing yang lengkap divaksinasi, sekali gus mengakhiri larangan perjalanan dari seluruh dunia yang memisahkan keluarga, menjejaskan pelancongan dan menjadikan hubungan diplomatik tegang.

Larangan terbabit dilaksanakan ketika pentadbiran bekas Presiden, Donald Trump awal 2020 dan diteruskan ketika pemerintahan Joe Biden sehingga mendapat kritikan luas yang menjadi lambang pergolakan disebabkan pandemik COVID-19.

Larangan itu lazimnya tidak popular di Eropah dan negara jiran AS, Kanada dan Mexico.

Dalam usaha untuk memperlahankan penularan COVID-19, sempadan AS ditutup selepas Mac 2020 kepada pelancong hampir kebanyakan bahagian besar dunia termasuk Kesatuan Eropah, Britain dan China serta India dan Brazil, selain pelawat yang melalui jalan darat dari Mexico dan Kanada juga dilarang.

Larangan selama berbulan-bulan itu membabitkan ratusan juta orang sehingga menjejaskan sosioekonomi rakyat disebabkan pandemik COVID-19.

Meskipun perjalanan dari AS ke Eropah sudah dilakukan sejak musim panas, bagaimanapun penduduk asing AS yang memegang visa tertentu tidak mempunyai jaminan untuk dibenarkan memasuki semula negara itu.

Selain itu, lebih 30 negara mendapat manfaat melalui penarikan balik larangan perjalanan namun dijangkakan kemasukan ke AS menjadi sangat tidak terkawal.

Justeru, pihak berkuasa AS merancang memantau dengan teliti status vaksinasi pelancong serta memerlukan mereka mengemukakan ujian negatif COVID-19 dengan penumpang menaiki pesawat perlu vaksinasi penuh dan melalui ujian tiga hari sebelum perjalanan.

Sementara kemasukan melalui sempadan melalui dua fasa. Mulai hari ini, pelawat yang melakukan perjalanan bukan penting seperti melawat keluarga atau melancong dibenarkan kepada yang sudah divaksinasi manakala bermula Januari ini, pengunjung yang sudah lengkap divaksin dibenarkan memasuki negara itu menerusi jalan darat. – AFP

Penumpang menunggu untuk menaiki pesawat United Airlines ke Newark, New Jersey di lapangan terbang Fiumicino Leonardo Da Vinci berhampiran Rom, kelmarin. – AP