AS, China berminat pindah operasi ke Johor

ISKANDAR PUTERI, 12 JULAI – Kerajaan Johor menerima pertanyaan daripada beberapa syarikat multinasional termasuk yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan China yang berminat untuk memindahkan operasi ke negeri itu.

Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad berkata syarikat-syarikat di AS dan China itu terlibat dalam sektor elektrikal dan elektronik (E&E) serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Beliau berkata, mereka berminat untuk memindahkan operasi ke Johor selepas mengetahui mengenai pembangunan pelbagai projek-projek besar, sekali gus memberi mereka keyakinan dari segi infrastruktur.

“Ada beberapa pertanyaan oleh syarikat multinasional berpusat di AS dan China itu yang berhasrat untuk memindahkan operasi ke Johor.

“Saya harap kita sudah bersedia kerana apabila pintu sempadan dibuka semula kelak, ini dapat memberi kesempatan untuk pelabur melihat sendiri kemajuan Johor,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek Jambatan Sungai Pulai di sini, hari ini.

Projek jambatan merentasi Sungai Pulai yang menghubungkan Gelang Patah ke Tanjung Bin di Pontian itu bernilai kira-kira RM700 juta dan dijangka mula beroperasi pada Oktober tahun depan.

Setakat ini, kemajuan kerja-kerja pembinaan jambatan telah pun mencapai 34 peratus dan apabila siap sepenuhnya dapat memendekkan masa perjalanan penduduk Pontian ke Johor Bahru kepada hanya 15 minit. – Bernama

Datuk Ir Hasni Mohammad (tengah) melihat pelan binaan jambatan serta kawasan yang terlibat ketika melakukan lawatan kerja di Projek Jambatan Sungai Pulai di MCJV Site Office, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah kelmarin. – Bernama