AS, China setuju longgar sekatan visa jurnalis

WASHINGTON, 17 NOV – Amerika Syarikat (AS) dan China bersetuju untuk melonggarkan sekatan visa jurnalis sejurus sidang kemuncak secara maya di antara kedua-dua pemimpin negara tersebut, dengan Beijing hari ini mengelar langkah tersebut sebagai kejayaan ‘besar’.

Washington sering kali mengutuk layanan China terhadap media AS dan mengambil tindakan terhadap media China di AS yang dituduh menjadi penyebar propaganda Beijing.

Pada 2020, Beijing menghalau pekerja AS di beberapa buah syarikat penerbitan akhbar utama seperti New York Times, Washington Post dan Wall Street Journal ketika ketegangan memuncak antara kedua-dua buah negara.

Namun selepas sidang kemuncak maya antara Presiden AS, Joe Biden dan rakan sejawat dari China, Xi Jinping, pegawai kedua-dua negara berkata mereka bersetuju untuk membenarkan visa jurnalis untuk dikeluarkan.

Menurut jurucakap Jabatan Negara kelmarin, rundingan selama beberapa bulan membawa kepada ‘beberapa perkembangan awal’ dalam ‘beberapa bahagian’ media.

Gambar fail bertarikh 28 Mac 2020 menunjukkan wartawan Wall Street Journal dilihat sedih sebelum meninggalkan Beijing. AS dan China bersetuju untuk melonggarkan sekatan visa jurnalis sejurus sidang kemuncak yang diadakan secara maya. – AP

Pegawai berkata China “komited untuk mengeluarkan visa kepada sekumpulan wartawan AS, dengan syarat mereka layak di bawah undang-undang dan peraturan yang ada.”

Beijing turut berjanji untuk “membenarkan jurnalis AS yang sudah berada di Republik Rakyat China untuk bebas meninggalkan dan kembali, yang mana sebelum ini mereka tidak dapat berbuat demikian,” kata pegawai AS.

Media China berkata kedua-dua pihak mencapai kata sepakat termasuk untuk ‘secara timbal balik meluluskan’ visa jurnalis baharu.

Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk melanjutkan tempoh visa jurnalis kepada setahun, selepas kedua-dua negara mengehadkan kebenaran kepada tiga bulan.

Jabatan Negara AS percaya langkah tersebut akan membolehkan jurnalis media AS untuk kembali ke China ‘untuk meneruskan tugasan penting mereka’. – AFP