AS, China ucap tahniah kepada Marcos Jr

MANILA, 12 MEI – Amerika Syarikat (AS) dan China telah mengucapkan tahniah kepada Ferdinand Marcos Jr atas kemenangannya dalam pilihan raya presiden Filipina, ketika kuasa-kuasa besar tersebut berebut untuk menjalin hubungan paling kuat dengan negara berkenaan.

Marcos, anak lelaki mendiang diktator Filipina, menjamin lebih daripada separuh undi dalam undian Isnin lalu untuk memenangi jawatan presiden dengan perbezaan besar.

Beliau dan Sara Duterte, yang juga memenangi persaingan dengan kemenangan besar, telah menerima dasar-dasar penting Presiden Rodrigo Duterte yang akan berundur, termasuk pendiriannya mengenai China.

Rodrigo Duterte cuba beralih dari AS, bekas kuasa kolonial Filipina, ke arah China sejak mengambil alih kuasa pada 2016, dan kelihatan keberatan untuk menghadapi Beijing mengenai pertikaian wilayah di Laut China Selatan.

Malah sebelum Marcos diisytiharkan menang, presiden AS dan China segera mula mewujudkan hubungan peribadi yang dilihat penting dari segi strategi bagi kedua-dua negara besar itu.

Dalam satu panggilan pada Rabu, Presiden China Xi Jinping memberitahu Marcos bahawa dua negara itu telah menjadi rakan yang melalui pelbagai kesukaran, televisyen kerajaan China melaporkan hari ini.

“Saya sangat mengutamakan pembangunan hubungan China-Filipina dan sedia untuk mewujudkan kerjasama baik dengan bakal Presiden Marcos, berpegang pada semangat kejiranan dan persahabatan yang baik,” Xi berkata.

AS pula berkata, ia akan cuba menjalin hubungan keselamatan yang rapat dengan Filipina di bawah Marcos, tetapi menegaskan bahawa ia akan meningkatkan hak asasi manusia.

Dalam satu panggilan, Presiden AS Joe Biden mengucapkan tahniah kepada Marcos dan berkata bahawa beliau ingin meluaskan kerjasama ke atas pelbagai isu, termasuk perubahan iklim dan “menghormati hak asasi manusia”. – AFP

Gambar yang dikeluarkan Pejabat Ferdinand Marcos Jr menunjukkan calon presiden itu bertemu Duta China, Huang Xilian apabila beliau menyampaikan nota tahniah bagi pihak Presiden Xi Jinping di Metro Manila, Filipina, kelmarin. – AP