AS dakwa Hambali, dua rakyat Malaysia

WASHINGTON, 22 JAN – Pendakwa raya tentera Amerika Syarikat (AS) memfailkan pertuduhan rasmi terhadap ekstremis Indonesia dan dua lagi individu yang terbabit dalam pengeboman Bali pada 2002 serta serangan di Jakarta pada 2003.

Pentagon berkata pertuduhan itu difailkan hampir 18 tahun selepas ketiga-tiga tertuduh ditangkap di Thailand dan dikurung dalam penjara tentera AS di Teluk Guantanamo, Cuba, lebih 14 tahun.

Pertuduhan pertama membabitkan ketua kumpulan jihad Indonesia Jemaah Islamiyah (JI) yang juga wakil kanan Al-Qaeda di rantau Asia, Riduan Isamuddin yang lebih dikenali sebagai Hambali.

Kumpulan terbabit mendalangi insiden pengeboman kelab malam di Bali pada 2002 yang membunuh 202 individu, dan serangan di hotel JW Marriott di Jakarta pada 2003 mengorbankan 12 nyawa. Menurut dokumen kes Guantanamo, dua pertuduhan lagi membabitkan rakyat Malaysia, Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin, yang menjadi orang kanan Hambali dalam JI dan dilatih Al-Qaeda.

“Pertuduhan itu membabitkan konspirasi, pembunuhan, cubaan membunuh, dengan sengaja mendatang kecederaan, keganasan, menyerang orang awam, menyerang dan memusnahkan harta serta melanggar undang-undang perang,” kata Pentagon dalam satu kenyataan. Pertuduhan itu diumumkan pada hari pertama pentadbiran penuh Presiden baharu AS, Joe Biden. – AFP