AS dan Eropah capai perjanjian cukai digital

WASHINGTON, 22 OKT – Amerika Syarikat (AS) berjaya mencari penyelesaian perbalahan perdagangan dengan Eropah selepas menandatangani perjanjian untuk menamatkan kontroversi cukai perkhidmatan digital ke atas syarikat gergasi teknologi milik AS.

Washington berkata semalam mereka akan menghapuskan tarif ke atas barangan dari Austria, Perancis, Itali, Sepanyol dan Britain sebagai sebahagian daripada perjanjian, langkah penting untuk memperbaiki hubungan renggang meskipun cukai tidak pernah dikenakan.

Di bawah perjanjian bersama itu, negara-negara tersebut akan menamatkan cukai yang dikenakan ke atas syarikat-syarikat teknologi utama sebaik sahaja perjanjian cukai minimum korporat global berkuat kuasa, yang dijangka pada 2023.

Sebarang pembayaran levi semasa perjanjian interim akan dilangsaikan semasa bil cukai pada masa akan datang, menurut perjanjian berkenaan.

AS menggesa untuk penarikan serta merta terhadap pembayaran yang disifatkan sebagai diskriminasi ke atas syarikat gergasi AS seperti Amazon, Apple dan Google, sementara negara-negara lain memilih untuk menunggu sehingga perjanjian cukai baharu berkuat kuasa.

“Sikap bertolak ansur ini melambangkan penyelesaian pragmatik,” menurut negara-negara dalam kenyataan bersama.

Hampir 140 buah negara pada awal bulan ini memeterai perjanjian cukai minimum 15 peratus di bawah naungan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Langkah bersejarah ini bertujuan untuk menamatkan keuntungan berselindung korporat di negara-negara berpendapatan rendah, dan menangani isu yang perlu diselesaikan.

“Kami telah mencapai kata sepakat bersama melalui perjanjian global OECD yang akan membantu menamatkan perlumbaan mengenai cukai korporat syarikat multinasional dengan menyelaraskan cukai korporat,” kata wakil Perdagangan AS, Katherine Tai dalam kenyataan.- AFP

Katherine Tai semasa menghadiri Sidang Kemuncak Perdagangan G7 di London.- AP