AS dijangka pengeksport gas ketiga terbesar dunia

NEW YORK, 25 Mei – Amerika Syarikat menghasilkan gas asli dengan banyak dan dijangka menjadi pengeksport ketiga terbesar di dunia pada tahun 2020, pertambahan pengeluaran yang disokong oleh Presiden Donald Trump.

Disebabkan kemajuan dalam pengeluaran gas syal, terutamanya di timur laut, Amerika telah menjadi pengeluar gas asli terbesar dunia sejak 2009 dan mengeluarkan dua bilion meter padu sehari pada 2017.

Amerika Syarikat kini berusaha mendapatkan pasaran eksport antarabangsa baharu untuk produk tersebut.

“Tempoh masa 2018 hingga 2019 ini sentiasa dianggap sebagai satu persimpangan dalam perbualan gas asli global,” kata Breanne Dougherty, ketua penyelidikan gas asli di Societe Generale.

Amerika Syarikat telahpun mengeksport beberapa produk berkenaan menerusi saluran paip ke Kanada dan Mexico.

Gambar menunjukkan saluran paip gas asli di Amerika Syarikat. Amerika Syarikat menghasilkan gas asli dengan banyak dan dijangka menjadi pengeksport ketiga terbesar di dunia pada tahun 2020. – AFP

Namun untuk sampai ke pasaran yang jauh, industri AS bergantung pada gas asli cair, yang boleh dieksport dengan kapal.

Eksport LNG mula berkembang pada tahun 2016 apabila untuk kali pertama Cheniere Energy menyewa sebuah kapal tangki daripada terminal gasnya di Sabine Pass di Louisiana. Sebelum itu, eksport AS telah datang daripada terminal Alaska yang ditutup pada 2015.

Eksport LNG bertambah empat kali ganda dalam setahun dan Amerika Syarikat menjadi pengeksport bersih pada 2017 untuk kali pertama dalam 60 tahun.

Lebih separuh disalurkan ke tiga negara: Mexico, Korea Selatan dan China. Kira-kira satu pertiga dihantar ke Eropah.

Penghantaran dijangka meningkat lebih tinggi sejak Dominion Energy memperkenal terminal baharu di Cove Point, Maryland pada Mac, dengan empat projek lain dijangka siap pada akhir tahun depan. – AFP