AS dilarang guna pangkalan udara Turki

ANKARA, TURKI, 11 DIS – Menteri Luar Negeri Turki menyarankan hari ini bahawa Amerika Syarikat (AS) mungkin dilarang daripada menggunakan pangkalan udara strategik sebagai tindakan balas terhadap sekatan AS ke atas negaranya, lapor Agensi Anadolu.

Komen Mevlut Cavusoglu keluar di tengah laporan mengatakan penggubal undang-undang AS telah mencapai persetujuan mengenai rang undang-undang pertahanan yang juga termasuk gesaan untuk mengenakan sekatan ke atas Turki berhubung keputusannya untuk meneruskan dengan pembelian sistem pertahanan peluru berpandu S-400 buatan Rusia.

“Sekiranya satu keputusan untuk mengenakan sekatan ke atas Turki diambil, pangkalan udara Incirlik dan Kurecik boleh dimasukkan dalam agenda,” Anadolu memetik Cavusoglu sebagai berkata.

Beliau berkata: “Anggota Kongres mesti memahami bahawa ia tidak dapat diteruskan dengan sekatan.”

Pangkalan tentera udara Incirlik di selatan Turki telah menjadi pangkalan utama untuk operasi AS di Timur Tengah dan terbaharu dalam kempen menentang kumpulan Islamic State di Syria dan Iraq, sementara Kurecik, di timur Turki, adalah pangkalan utama NATO.

Keputusan Turki untuk meneruskan dengan pembelian sistem Rusia telah menambah kepada kemelut yang dihadapi oleh kedua-dua sekutu NATO. Washington berkata sistem Rusia menimbulkan ancaman kepada NATO dan telah mengeluarkan Turki daripada program jet penggempur F-35 pimpinan AS. – AP