AS diminta sedia pusat perlindungan

WASHINGTON, 8 Mac – Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) telah meminta Jabatan Pertahanan bersiap siaga untuk menempatkan sehingga 5,000 orang kanak-kanak migran susulan ‘krisis’ yang semakin memuncak di sempadan AS-Mexico, kata Pentagon.

Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) “telah meminta bantuan Jabatan Pertahanan untuk mengenal pasti ruang bagi menempatkan sehingga 5,000 orang kanak-kanak asing yang tidak ditemani di kawasannya, jika perlu, sehingga 30 September 2019,” kata jurucakap Pentagon Leftenan Kolonel Jamie Davis.

“Jabatan Pertahanan akan bekerjasama dengan perkhidmatan tentera bagi mengenal pasti lokasi berpotensi dan akan bekerjasama dengan HHS untuk menilai sebarang kemudahan atau tanah Jabatan Pertahanan yang sesuai bagi menyediakan pusat perlindungan sementara kepada kanak-kanak asing yang tidak ditemani,” katanya.

Menurut Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP), jumlah kanak-kanak bawah umur yang ditahan selepas memasuki AS secara haram tanpa keluarga pada Februari mencecah 6,825 orang, menyaksikan peningkatan daripada 5,119 pada Januari dan 4,968 pada Oktober.

CBP menyerahkan kanak-kanak terbabit kepada Pentadbiran bagi Kanak-kanak dan Keluarga HHS yang berusaha menempatkan mereka dengan saudara mara atau anggota keluarga lain di AS sementara permohonan mereka untuk kekal di negara itu diproses, yang boleh mengambil masa sehingga dua tahun.

Pentadbiran bagi Kanak-kanak dan Keluarga HHS pada Khamis berkata ketika ini mereka mempunyai kira-kira 11,500 kanak-kanak sedemikian dalam tahanan. – Bernama