AS, EU setuju Batal tarif punitif

WASHINGTON, 31 OKT – Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) kelmarin bersetuju untuk membatalkan tarif punitif bagi import besi dan aluminium Eropah, menamatkan pertikaian mengenai hubungan dagangan mereka sejak bekas presiden AS, Donald Trump mengenakan levi tiga tahun lalu.

Perjanjian itu diumumkan oleh Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo, yang berkata perjanjian ‘membolehkan kadar terhad besi dan aluminium Eropah untuk memasuki AS tanpa dikenakan tarif.

Suruhanjaya Perdagangan EU, Valdis Dombrovskis berkata menerusi Twitter, “Kami bersetuju dengan AS untuk menangguhkan pertikaian perdagangan besi dan aluminium dan menjalin kerjasama menerusi Perjanjian Global mengenai Besi & Aluminium Mampan.”

Trump pada Jun 2018 mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas besi dan 10 peratus ke atas aluminium dari beberapa buah negara, termasuk EU. Dia berkata tindakan tersebut diambil adalah demi keselamatan negara.

Eropah segera membuat tindakan serupa, dengan mengenakan cukai ke atas tembakau, jagung, beras, jus oren dari AS, selain motosikal.

Pada Jun, ketika mereka mengumumkan perjanjian bagi menamatkan pertikaian subsidi untuk Airbus dan Boeing, AS dan EU memberikan masa sehingga 1 Disember untuk menyelesaikan isu tarif besi.

“Industri ini dikenakan tarif sebanyak 50 peratus,” kata Raimondo mengenai Harley Davidson.

“Tiada perniagaan akan mampu bertahan. Terdapat 5,600 pekerja kilang di Harley Davidson dan kerja mereka berjaya dikekalkan disebabkan perjanjian ini.”

Perjanjian diumumkan pada hari pertama Sidang Kemuncak G20 di Rom namun tidak menyatakan kadar besi dan aluminium Eropah yang dibenarkan ke AS tanpa cukai.

“Kami menjangkakan perjanjian ini akan memberikan bantuan rantaian bekalan dan membantu meringankan kos yang meningkat ketika kami membatalkan tarif sebanyak 25 peratus dan meningkatkan kadar,” kata Raimondo. – AFP