Sunday, March 23, 2025
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS, Filipina jalani latihan rampasan pesawat

    MANILA, 26 Sept – Pasukan keselamatan Amerika Syarikat (AS) dan Filipina mengadakan satu latihan simulasi rampasan pesawat oleh kumpulan Islamic State (IS) dan penyelamatan tebusan ketika mereka berhasrat untuk memfokuskan pakatan tentera mereka terhadap pencegahan keganasan.

    Latihan selama lima hari yang berakhir hari ini itu adalah yang pertama seumpamanya dan menyaksikan lebih daripada 400 askar, polis lapangan terbang dan perunding-perunding tebusan mencipta satu simulasi rampasan pesawat oleh IS yang memaksanya mendarat di lapangan terbang Clark di utara Manila, kata seorang pegawai.

    Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana berkata latihan itu sejajar dengan hasrat Presiden Rodrigo Duterte untuk memfokuskan semula pakatan pertahanan bersama yang dibuat oleh kedua-dua negara dalam tahun 1951 terhadap pencegahan keganasan dan bantuan bencana.

    Sejak memegang kuasa, Duterte telah berusaha melemahkan hubungan dengan bekas penjajah negara itu dan memfokuskan kepada China dan Rusia. Beliau sebelumnya berkata latihan-latihan tentera dengan Amerika adalah satu ‘penghinaan’ bagi Filipina dan mengancam untuk memutuskan pertalian-pertalian pertahanan sepenuhnya.

    Beliau sejak itu telah mengharamkan tentera Filipina menjalani rondaan-rondaan bersama dengan tentera laut AS di luar perairan Filipina dan mengurangkan jumlah latihan-latihan tentera bersama.

    Ketika latihan dijalankan oleh pasukan keselamatan Filipina dan AS. – AFP

    Latihan terbaru itu diadakan dalam bayang kempen tentera yang disokong AS untuk mengambil alih bandar selatan Marawi, Filipina yang telah diduduki oleh militan pro-IS sejak lebih dari empat bulan lepas.

    “Ia bertindak sebagai satu peluang sempurna untuk menilai keperluan bagi satu persekitaran keselamatan baru di rantau Pasifik, terutamanya sekarang keganasan telah menjadi jelas dalam landskap keselamatan semasa kita,” ujar Lorenzana.

    Kedua-dua kerajaan menegaskan tiada plot seumpamanya yang diketahui terhadap pesawat dijalankan oleh IS atau penyokong-penyokongnya.

    Kali terakhir peristiwa rampasan pesawat di Filipina adalah pada bulan Mei 2000 apabila seorang penumpang bersenjatakan bom tangan dan pistol cuba memaksa pesawat yang dalam perjalanan ke Manila membuat pendaratan di bandar selatan Davao. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda