AS fokus pemindahan di Afghanistan

SINGAPURA, 23 OGOS – Amerika Syarikat (AS) kini menumpukan kepada usaha untuk memindahkan pekerja dan rakyat AS yang berada di Afghanistan termasuk wanita dan kanak-kanak, kata Naib Presiden Kamala Harris.

“Sekarang itulah tumpuan utama kami. Kami mempunyai komitmen besar untuk memastikan mereka selamat,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di sini hari ini.

Harris tiba di Singapura pada Ahad sempena lawatan rasmi ke Asia Tenggara dan akan berada di republik ini sehingga Selasa. Beliau berkata dalam konteks pengunduran tentera  AS dari Afghanistan pelbagai sudut dan perkara yang perlu diteliti serta dikaji dengan terperinci.

Mengenai hubungan AS dengan dunia, Harris berkata, “Saya berada di Singapura kerana komitmen terhadap hubungan kedua-dua negara sejak sekian lama. Hubungan dengan wilayah Indo-Pasifik .. dengan negara-negara Asia Tenggara, khususnya dengan Singapura.”

Pada lawatannya itu, AS dan Singapura memperluas bidang kerjasama termasuk iklim dan ekonomi, selain memeterai perjanjian persefahaman (MoU) mengenai keselamatan dan ruang siber serta pandemik koronavirus. Beliau turut memeriksa barisan kehormat dan dihadiahkan dengan bunga orkid dinamakan sempena namanya, satu penghormatan bagi orang kenamaan yang melawat negara itu.

Harris turut melawat sebuah pangkalan tentera laut dan berucap di hadapan tentera laut AS semasa lawatan ke kapal perang USS Tulsa.

Harris, yang diiringi pegawai kanan dari Pejabat Naib Presiden, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Negara, akan berlepas ke Vietnam esok petang. – Bernama

Kamala Harris dan Lee Hsien Loong ketika sidang media bersama di Singapura, 23 Ogos. Harris menekankan komitmen AS kepada Asia Tenggara khususnya Singapura dan tumpuan kepada pemindahan warga AS di Afghanistan pada sidang itu. – AP