BANDAR MEXICO, 14 FEB – Amerika Syarikat (AS) menggantung import avokado dari barat negeri Mexico Michoacan selepas seorang pemeriksa AS menerima ugutan telefon, lapor pihak berkuasa Mexico semalam.
Gabenor Michoacan, Alfredo Ramirez Bedola semalam menghubungi kedutaan AS di Bandar Mexico untuk mencari penyelesaian dan meneruskan eksport, menurut kenyataan media kerajaan negeri.
Perkhidmatan Pemeriksaan Kesihatan Haiwan dan Tanaman AS telah mengumumkan lewat Sabtu bahawa ia telah ‘memutuskan untuk menangguhkan, sehingga pemberitahuan lanjut aktiviti pemeriksaan avokado di Michoacan,” kata kerajaan persekutuan dalam satu kenyataan.
Keputusan itu keluar selepas salah seorang pegawai agensi, yang sedang memeriksa hantaran eksport di bandar Uruapan, ‘menerima panggilan ugutan di telefon bimbitnya,’ kata agensi Mexico yang menyelia eksport pertanian.
Hujung minggu ini, pihak berkuasa persekutuan dan negeri, bersama pegawai AS di Michoacan mengadakan rundingan dengan polis untuk menguatkuasakan langkah-langkah keselamatan lanjut, menurut kerajaan.
Michoacan ialah pengeluar avokado terbesar di dunia, dengan 85 peratus daripada tanaman itu dieksport ke AS.
Namun ia juga salah sebuah negeri Mexico yang paling terjejas oleh keganasan yang dikaitkan dengan jenayah terancang, yang juga menyasarkan pengeluar avokado, yang berdepan kecurian, serangan dan peras ugut.
Kira-kira 140,000 tan avokado disasarkan dieksport ke AS pada Februari ini, menurut Bedolla. – AFP