AS gantung semua penerbangan China

WASHINGTON, 4 JUN – Washington semalam mengarahkan penggantungan semua penerbangan oleh syarikat penerbangan China ke dan dari Amerika Syarikat (AS) selepas Beijing gagal membenarkan syarikat penerbangan Amerika meneruskan perkhidmatan ke China.

Tindakan itu menambah lagi perselisihan di antara dua ekonomi terbesar dunia di tengah krisis koronavirus dan berikutan perang perniagaan dua tahun yang masih belum diselesaikan sepenuhnya.

Tindakan AS itu berkuat kuasa pada 16 Jun tetapi mungkin dilaksanakan lebih awal jika Presiden Donald Trump mengarahkan ia dilakukan, kata Jabatan Pengangkutan (DOT).

Penggantungan itu membabitkan tujuh syarikat penerbangan awam China, walaupun hanya empat yang mengendalikan perkhidmatan ke bandar AS, termasuk Air China dan China Eastern Airlines, kata Jabatan Pengangkutan.

“Syarikat penerbangan AS telah meminta untuk meneruskan perkhidmatan penumpang bermula 1 Jun. Kegagalan kerajaan China untuk meluluskan permintaan mereka merupakan pencabulan Perjanjian Pengangkutan Udara kami,” kata jabatan dalam satu kenyataan.

Syarikat penerbangan AS telah mengurangkan atau menggantung perkhidmatan ke China di tengah pandemik COVID-19.

United Airlines dan Delta Airlines menghantar permohonan pada awal Mei untuk meneruskan penerbangan tetapi gagal menerima kebenaran dari Pihak Berkuasa Penerbangan Awam China (CAAC), kata DOT. – AFP