AMERIKA SYARIKAT, 17 MEI – Amerika Syarikat (AS) berharap India akan menarik balik larangannya ke atas eksport gandum, beritahu diplomat tertinggi Washington ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, dan mengingatkan tindakan tersebut akan memburukkan masalah kekurangan komoditi tersebut di seluruh dunia.
“Kami menggalakkan negara-negara supaya jangan mengehadkan eksport kerana kami berpendapat sebarang sekatan yang dikenakan ke atas eksport akan memburukkan lagi krisis kekurangan makanan,” kata Linda Thomas-Greenfield semasa perhimpunan menteri-menteri mengenai keselamatan makanan sebelum mesyuarat Majlis Keselamatan PBB.
Mesyuarat PBB – dipengerusikan oleh Setiausaha Negara AS Antony Blinken – juga disertai Vellamvelly Muraleedharan, menteri hal ehwal luar negeri India.
India adalah anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB.
“Kami berharap India, ketika mereka mendengar kebimbangan yang dikemukakan oleh negara-negara lain, akan menimbang semula dasar yang dikuatkuasakan,” kata Thomas-Greenfield.
Blinken dijangka mengadakan satu lagi mesyuarat PBB juga berkaitan jaminan makanan esok. – AFP