AS gesa Iraq laksana pilihan raya awal

WASHINGTON, 11 NOV – Amerika Syarikat (AS) menggesa pihak berkuasa Iraq mengadakan pilihan raya awal dan reformasi pemilihan sekali gus menghentikan keganasan terhadap penunjuk perasaan sehingga menyebabkan ratusan terbunuh.

Rumah Putih dalam satu kenyataan berkata, Washington mahu kerajaan Iraq menghentikan keganasan ke atas penunjuk perasaan dan memenuhi janji Presiden Barham Ahmed Salih untuk meluluskan reformasi pilihan raya dan mengadakan pilihan raya awal.

“AS sangat bimbang dengan serangan berterusan ke atas penunjuk perasaan, aktivis dan media begitu juga sekatan terhadap akses internet di Iraq,” katanya.

Kempen besar-besaran bagi menuntut perubahan sepenuhnya dalam sistem pentadbiran menjadi punca kekacauan di Baghdad dan selatan yang diduduki majoriti Syiah sejak 1 Oktober lalu.

Jawatankuasa hak asasi Parlimen berkata, 319 orang terbunuh sejak protes meletus, termasuk penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan.

Jawatankuasa itu berkata, penembak hendap, aktif di beberapa lokasi protes dan raifal turut digunakan ke atas penunjuk perasaan. – AFP

Pembantah Iraq berdiri di atas sekatan konkrit di dataran Khallani, Baghdad ketika demonstrasi berterusan kelmarin. AS telah menggesa Iraq
supaya mengadakan pilihan raya awal dan melaksana pembaharuan pilihan raya. – AFP