AS hantar 1,000 lagi tentera ke Poland

WASHINGTON, 13 JUN – Rumah Putih semalam berkata Amerika Syarikat (AS) akan menghantar 1,000 anggota tentera tambahan ke Poland, satu langkah yang mungkin mencetuskan kebimbangan dari segi keselamatan di pihak Rusia, lapor agensi berita China Xinhua.

“AS dan Poland telah bersetuju dengan rangka kerja untuk menghantar 1,000 anggota tentera tambahan ke Poland,” menurut Rumah Putih dalam satu kenyataan.

Presiden AS Donald Trump semalam mengumumkan semasa sidang akhbar bersama dengan Presiden Poland Andrzej Duda yang ketika itu dalam rangka lawatan ke AS bahawa infrastruktur bagi 1,000 anggota tentera terbabit akan dibina oleh kerajaan Poland ‘tanpa sebarang kos ditanggung oleh Amerika Syarikat.’

Duda berkata peningkatan kehadiran tentera AS di Poland adalah perlu untuk mempertahan negara itu daripada Rusia dan memperkukuh hubungan Poland dengan Barat.

Poland, yang menyertai NATO pada 1999, ketika ini menjadi tuan rumah kepada kira-kira 4,500 anggota tentera AS. Ia telah melobi untuk sebuah pangkalan tentera AS yang kekal di bumi Poland, malah sanggup menawarkan untuk membayar kos sebanyak AS$2 bilion.

Trump mengiktiraf keputusan Warsaw untuk membeli 32 jet pejuang F-35. Sebuah pesawat pejuang F-35 AS melakukan penerbangan di depan Rumah Putih sejurus sebelum sidang akhbar bersama itu bermula. – Bernama

Presiden Donald Trump (kanan) berjabat tangan dengan Presiden Poland Andrzej Duda ketika persidangan akhbar di Rose Garden Rumah Putih pada 12 Jun, di Washington. – AP