PHNOM PENH, 7 Nov – Amerika Syarikat akan berhenti membiayai pembersihan bahan letupan (UXOs) bekas peperangan di Kemboja dari Januari 2018, kata Heng Ratana, ketua pengarah Pusat Tindakan Periuk Api Kemboja (CMAO) di sini lewat semalam.
Amerika Syarikat telah membekalkan CMAC dengan AS$2.5 juta setahun menerusi rakan mereka, Bantuan Rakyat Norway NGO (NPA) untuk membersihkan UXOs di Kemboja Timur.
“Saya telah menerima surat pengesahan daripada Rakan Projek NPA menyatakan AS akan berhenti membiayai projek pembersihan ERW (saki-baki bahan letupan perang) di kawasan Timur Kemboja mulai awal Januari 2018,” tulis Ratana di Facebook beliau.
“Ia adalah berita yang amat mengecewakan dan menyedihkan untuk notis pemberhentian singkat ini tanpa sebarang alasan yang wajar,” kata beliau.
Menurut Ratana, pemotongan bantuan AS tidak akan menjejaskan operasi pembersihan UXO berterusan disebabkan kerajaan Kemboja dan seorang lagi rakan pembangunan akan terus membiayai projek berkenaan.
Hubungan di antara Kemboja dan Amerika Syarikat terjejas dalam beberapa bulan ini selepas kerajaan Kemboja menuduh AS menyokong secara rahsia Kem Sokha, presiden parti pembangkang Parti Penyelamat Nasional Kemboja menerusi revolusi warna. Amerika Syarikat menyangkal dakwaan tersebut. – Xinhua