AS, Hungary perkukuhkan hubungan

BUDAPEST, 12 Feb – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo semalam melahirkan harapan moga hubungan baharu Amerika dengan Viktor Orban dari Hungary akan membantu membawa pemimpin itu jauh daripada pengaruh Rusia dan China.

Namun menteri luar Hungary menempelak bahawa Budapest bosan dengan sikap kepura-puraan pihak Barat.

Hungary, rakan paling rapat Rusia dalam Kesatuan Eropah (EU) bersetuju dengan Pompeo bagi menjalin hubungan pertahanan lebih rapat dan membayangkan sebagai sekutu sebenar bagi jenama politik nasionalis Presiden Donald Trump.

Pompeo mengadakan makan malam bersama Orban pada lawatan pertama dalam tempoh tujuh tahun oleh setiausaha negara AS ke Budapest, pusingan pertama lawatannya ke Eropah Tengah.

Diplomat tertinggi AS itu memulakan lawatan dengan mengadakan pertemuan dengan wakil kumpulan masyarakat awam yang memuji Pompeo kerana menunjukkan sokongan ketika kemampuan mereka untuk mengembangkan hak asasi kemanusiaan dan ketelusan semakin berkurangan. Pompeo kemudian memberitahu kerajaan Orban bahawa beliau akan mengemukakan kebimbangan dengan Hungary dan menyuarakan kekhuatiran tentang pengaruh China dan Presiden Rusia Vladimir Putin.

Pompeo berkata “Kita perlu tidak membiarkan Putin merenggangkan antara sahabat-sahabat dalam NATO.” “Negara autoritarian Rusia tidak akan menjadi sahabat kepada kebebasan dan kedaulatan negara-negara lebih kecil.” Ketika menyentuh mengenai sikap dingin bekas presiden Barack Obama dengan Orban, Pompeo berkata AS telah menolak Hungary ke dalam genggaman pihak yang tidak mengongsikan nilai-nilai kita dan berikrar akan bersaing bagi pengaruh positif di rantau itu. – AFP

Pompeo (kiri) bersalaman dengan menteri Hungary semasa mengadakan lawatan rasmi ke Budapest, Hungary. – AP