Thursday, January 16, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    AS ikrar akhiri pemisahan keluarga pehijrah

    WASHINGTON, 18 Jun – Penggubal undang-undang demokratik semalam berikrar akan menamatkan pemisahan ‘jahat’ antara kanak-kanak pehijrah dari ibu bapa mereka di sempadan Amerika Syarikat (AS), ketika Wanita Pertama Melania Trump membuat rayuan politik yang di luar jangkaan, menggesa bagi penamatan amalan yang berkontroversi itu.

    Dasar keselamatan sempadan ‘yang tidak ada toleransi langsung’ yang dilaksanakan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump telah mencetuskan kemarahan terhadap kedua belah pihak politik terutamanya ketika AS menyambut Hari Ayah.

    “Mereka menyifatkannya ‘tidak ada toleransi langsung’, tetapi nama yang lebih baik baginya ialah tidak berperikemanusiaan dan tidak ada kelogikan dasar ini,” kata Senator Jeff Merkley dari Oregon, selepas mengetuai sebuah kumpulan penggubal undang-undang Demokratik ke sempadan Mexico.

    “Tidak dapat diterima sama sekali di bawah sebarang kod moral atau di bawah sebarang tradisi keagamaan untuk menyakiti kanak-kanak, mengakibatkan trauma ke atas mereka untuk memberi beberapa mesej politik kepada orang dewasa di luar negara.”

    Selepas melawat pasar raya Walmart yang diubah suai dan kini menempatkan kira-kira 1,500 orang kanak-kanak pehijrah, Merkely berkata “Menyakiti kanak-kanak untuk mendapatkan pengaruh perundangan tidak dapat diterima. Ia tindakan yang jahat.”

    Gambar fail pada 7 Mei 2018 menunjukkan Melania Trump dalam satu acara di Rumah Putih, Washington. Trump membuat rayuan politik yang di luar jangkaan, menggesa bagi penamatan amalan yang berkontroversi pemisahan antara kanak-kanak pehijrah dengan ibu bapa mereka. – AFP

    Kerajaan berkata ketika satu tempoh enam minggu baru-baru ini, hampir 2,000 orang kanak-kanak dipisahkan dari ibu bapa mereka atau penjaga dewasa, bilangan yang hanya menimbulkan kemarahan.

    Trump berkata dia mahu pemisahan itu berakhir, tetapi terus menyalahkan pihak pembangkang, Demokrat di atas krisis itu.

    Di tengah perpecahan yang mendalam, kongres Republikan berusaha membentuk rancangan penghijrahan yang berdaya maju.

    Dewan Perwakilan diketuai Republikan mungkin mengundi dalam hari-hari mendatang ini berhubung dua langkah penghijrahan dalam rang undang-undang yang tidak bertolak ansur, yang akan mengehadkan penghijrahan sah, sementara juga menamatkan isu pemisahan antara keluarga.

    Seorang perwakilan, Sheila Jackson Lee menuduh Trump berdusta dengan mendakwa beliau hanya mengikut surat tentang undang-undang yang sebelumnya sedia ada.

    “Presiden tidak menyatakan kebenaran. Tidak ada undang-undang, tidak ada dasar telah membenarkan dia untuk mengambil kanak-kanak dari keluarga mereka,” katanya lagi.

    “Saya memberi jaminan kepada anda, kami berjuang hingga ke akhirnya untuk menghentikan… program keji yang menjejaskan kanak-kanak dan mencetuskan penganiayaan besar-besaran ke atas kanak-kanak.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda