AS, India capai kata sepakat

NEW DELHI, 14 Mac – India dan Amerika Syarikat (AS) telah mencapai kata sepakat untuk membina enam loji tenaga nuklear AS di India apabila kedua-dua negara memperluas kerjasama keselamatan dan nuklear mereka.

Delegasi India, yang diketuai Setiausaha Luar Vijay Gokhale, telah mengadakan rundingan di Washington dengan para pegawai AS, yang diketuai penolong setiausaha bagi pengendalian senjata dan keselamatan antarabangsa Andrea Thompson, serta membincangkan peningkatan kerjasama dalam pelbagai isu.

“Kami komited dalam memperkukuh keselamatan dua hala dan kerjasama nuklear sivil, termasuk pewujudan enam loji tenaga nuklear AS di India. Amerika Syarikat mengesahkan sokongan kuatnya terhadap keanggotaan awal India dalam Kumpulan Pembekal Nuklear,” menurut kenyataan bersama kedua-dua negara kelmarin.

Awal minggu ini, setiausaha luar India itu dan Setiausaha Negara AS Michael R. Pompeo membincangkan kerjasama lebih erat di rantau Asia Pasifik serta Afghanistan. – Bernama