HOUSTON, TEXAS, 5 OGOS – Kes cacar monyet yang disahkan di Amerika Syarikat (AS) meningkat kepada lebih 6,600 kes pada Khamis, menyebabkan pentadbiran Presiden Joe Biden mengambil tindakan dan langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya.
“Saya akan mengisytiharkan darurat kesihatan awam mengenai cacar monyet. Kami akan melakukan apa yang kami fikirkan perlu,” kata Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) Xavier Becerra dalam satu sidang akhbar menerusi telefon.
Becerra berkata AS mampu membuat saringan sejumlah 80,000 orang seminggu untuk cacar monyet dan doktor serta petugas kesihatan digalakkan melakukan ujian saringan, lapor Agensi Anadolu.
“Virus ini merebak dengan pantas. Cacar monyet merebak lebih cepat daripada wabak sebelum ini,” kata penyelaras untuk respons cacar monyet kebangsaan, Robert Fenton.
Wabak itu diisytiharkan sebagai da-rurat pada Isnin di New York kerana ne-geri itu menyumbang hampir 25 peratus daripada semua kes AS. California dan Illinois juga mengeluarkan pengisytiharan darurat pada hari yang sama berikutan peningkatan jangkitan yang ketara di negeri tersebut.
Tetapi deklarasi persekutuan akan membuka jalan bagi membolehkan semua negeri memperoleh akses kepada dana kecemasan untuk memerangi dan membendung wabak itu.
Ia juga membolehkan kerajaan persekutuan mengumpul data di seluruh negara mengenai kes dan vaksinasi, mempercepat pengedaran vaksin dan memudahkan doktor untuk memberikan rawatan.
HHS berkata ia telah mengedarkan 14,000 rawatan TPOXX untuk virus itu dengan 1.7 juta dos TPOXX lagi dalam simpanan persekutuan, jika perlu.
Sejumlah 5.5 juta dos telah dipesan untuk 2023 dan 11.1 juta dos lagi ada dalam simpanan sebagai persediaan jika wabak itu terus merebak dengan meluas. – Bernama